14 mayat ditemui...

BEIRUT 27 Ogos - Sekurang-kurangnya 14 lagi mayat ditemui di Daraya selepas aktivis, semalam melaporkan tentang insiden 'pembunuhan beramai-ramai' mengerikan setelah lima hari tentera kerajaan melancarkan serangan ke atas bandar tersebut.



Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, semalam melaporkan, menemui 320 mayat di Daraya selepas pemberontak menyatakan tentera melancarkan serangan hebat, melaksanakan 'hukuman mati' dan serbuan dari rumah ke rumah di bandar di pinggir Damsyik itu.



Menurut pertubuhan itu, 14 lagi mayat ditemui semalam dan mereka turut telah mengenal pasti 220 mayat yang ditemui kelmarin.



Sebuah rangkaian aktivis di Syria, Jawatankuasa Pengurusan Tempatan, menyifatkan pembunuhan itu sebagai 'pembunuhan beramai-ramai' oleh kerajaan Presiden Bashar al-Assad.



Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia turut menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 149 orang maut di seluruh Syria semalam terdiri daripada 105 orang awam, 26 pemberontak dan 18 askar kerajaan.



Tentera kerajaan turut membedil Basra al-Sham di wilayah Daraa menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang awam terbunuh.



Bedilan baru terus berlaku hari ini, mengorbankan tiga lelaki dewasa, tiga kanak-kanak dan dua wanita di Kafr Batna, wilayah Damsyik, menurut pertubuhan pemantau yang beribu pejabat di London itu. - AFP



Ps: perkara sebeginilah yang kita ingin elakkan agar tidak berlaku di tanah air kita....
TAG