Di sebalik kegagalan hudud PAS di Kelantan...???!!!

no preview





KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kegagalan kerajaan Pas Kelantan melaksana hukum hudud sehingga kini adalah disebabkan tiada tanda-tanda kerajaan negeri itu bersungguh-sungguh mahu melaksanakan syariat tersebut khususnya dalam bidang perundangan.



Perkara itu didedahkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berdasarkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Wan Abd. Muttalib Embong dalam nota diskusi Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan bertarikh 3 Oktober 1996.



Menurut beliau, Wan Abd. Muttalib dalam nota itu serta nota perakuan Lujnah Panel Undang-Undang dan Guaman Pas Pusat ke atas Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 turut memperakukan enakmen yang merangkumi hukum hudud, qisas dan takzir adalah terpelihara mengikut syarak dan tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.



"Oleh itu, apa perlunya pemimpin-pemimpin UMNO dipersalahkan. Apa perlunya Perlembagaan dipersalahkan ekoran kegagalan Kelantan melaksanakan hukum hudud?



"Lujnah Undang-Undang dan Guaman Pas sendiri telah memutuskan sejak 1 Oktober 1994 bahawa hukum hudud adalah undang-undang sah dan boleh dikuatkuasakan kerana tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.



Ibrahim tampil menjelaskan perkara itu memandangkan setiap kali timbul persoalan kegagalan Pas melaksanakan hukum hudud alasan diberikan pemimpin-pemimpin parti tersebut termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kerana halangan daripada kerajaan terutamanya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.



Ibrahim berkata, dalam nota diskusi itu juga Wan Abd. Muttalib ada menyebut kerajaan Kelantan sendiri tidak pernah membuat permintaan kepada Pas Pusat (Lujnah Panel Penasihat Undang-Undang dan Guaman) untuk mendapatkan pandangan berhubung perkara tersebut.



"Saya juga belum melihat kerajaan Kelantan mengemukakan rangka kerja ke arah pelaksanaan syariat itu," katanya.



Menurut Ibrahim, beliau turut menerima salinan nota peringatan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas bertarikh 18 April 1998 yang antara lain mengandungi persoalan dikemukakan Wan Abd. Muttalib mengenai persediaan Kelantan melaksanakan undang-undang Islam.



"Dalam peringatan mesyuarat itu, Wan Abd. Muttalib bertanya mengapa ia belum dilaksanakan sedangkan mereka berkuasa," katanya.



Menurut Ibrahim, bersandarkan bukti-bukti yang diperoleh itu jelas menunjukkan Pas tidak mempunyai masalah melaksanakan hukum hudud di Kelantan.



"Mereka yang sebenarnya tidak mahu melaksanakan hukum ini kerana mereka sendiri tidak mampu menjalankannya.



"Bagi saya hentikanlah perangai menyalahkan orang lain. Jangan salahkan kerajaan Pusat, jangan salahkan UMNO, jangan salahkan Tun Mahathir sebaliknya salahkan diri sendiri.



"Hakikatnya, Pas sendiri tidak berniat dan tidak mampu melaksanakan hukum Allah ini," katanya.



-UTUSAN

TAG