7 pelajar dapat ijazah yang tidak diiktiraf

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah disaran supaya menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan mengkaji perjalanan pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kerana timbul banyak isu membabitkan kolej universiti itu sejak kebelakangan ini.



Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelbagai masalah dihadapi Kuin antaranya melibatkan kewangan dan program-program yang ditawarkan.



"Pada majlis konvokesyen Kuin 17 September lalu, tujuh graduan kumpulan pertama program Ijazah Sarjana Muda al-Quran tidak dapat sijil mereka sebab tidak mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).



"Perkara ini adalah sangat malang dan sedih bagi graduan-graduan yang susah payah belajar tapi akhirnya tidak mendapat ijazah," katanya pada sidang media di sini hari ini.



Sehubungan itu beliau berkata satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan secepat mungkin bagi menyiasat perkara ini kerana dapat dilihat dengan jelas pihak pengurusan Kuin alpa sehingga berlaku satu kesilapan yang sangat besar.



Akhbar tempatan pada Isnin melaporkan tujuh graduan terkejut apabila ijazah yang diperoleh pada konvokesyen Kuin, 17 September lalu tidak diiktiraf kerana dokumentasi yang diserahkan kepada Hal Ehwal Akademik (HEA) untuk dipanjangkan kepada MQA ditolak, atas alasan ia tidak menepati format ditetapkan.





Mahdzir berkata akibatnya graduan terbabit tidak dapat menyambung pengajian di peringkat sarjana di institusi pengajian tinggi (IPT) lain, selain tidak dapat membuat permohonan kerja dengan sektor awam.



"Selain menghadapi masalah itu, saya difahamkan Kuin turut menghadapi masalah lain iaitu tindakan mahkamah kerana gagal menjelaskan hutang dengan beberapa pihak.



"Saya mendapat maklumat terbaharu mengenai bangunan yang digunakan untuk pengajian Teknologi Maklumat akan disita kerana gagal menjelaskan sewa selama sembilan bulan," katanya.



Beliau berkata Kuin perlu menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin kerana ia akan menjejaskan kredibiliti kolej universiti itu selain memberi persepsi buruk kepada masyarakat.- Bernama



TAG