HIMPUN Sepakat demi Islam....



SHAH ALAM 18 Sept. – Himpunan Sejuta Umat  (HIMPUN) akan turut menyertai penentangan filem 'Innocence of Muslims' bersama Pemuda UMNO dan PAS yang dijangka akan berlangsung Jumaat ini.



Menurut Pengerusi Bersama HIMPUN Dr Yusri Mohamad beliau sangat bersetuju dengan penganjuran bersama perhimpunan tersebut malah ianya amat diananti-nantikan umat Islam di Negara ini.



Beliau turut memuji usul kedua-dua parti politik itu yang sanggup ketepikan ideologi mereka demi menyelamatkan maruah agama.



“Saya amat bersetuju dengan cadangan ini dan mengalu-alukan agar ia segera dilaksanakan. Ia sangat penting bagi kita memelihara kesucian agama Islam daripada terus dihina oleh masyarakat dunia,” katanya kepada pemberita lewat semalam.



Beliau juga menambah, hasrat murni kedua-dua parti itu akan didukung dan disokong sepenuhnya dalam menghalang perkara tersebut terus disiarkan dalam Youtube.



“Isu yang berkaitan agama Islam tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Kita mahu mereka tahu kita serius apabila melibatkan penghinaan terhadap Islam. Malah kami bersedia bila-bila masa untuk berhimpun. Jika ia dilakukan jam 12 tengah malam sekalipun, kami sanggup,” katanya.

TAG