DAP Kedah bantah iklan sopan

ALOR SETAR 14 Okt. - DAP Kedah sekali lagi menegaskan mereka akan menentang undang-undang yang berunsurkan Islam jika ia mahu dilaksanakan di negeri itu.



Pengerusinya, Lee Guan Aik berkata, tindakan itu termasuk dalam soal pelaksanaan garis panduan papan iklan antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan perlu bertudung jika beragama Islam.



Katanya, sebarang perkara berkaitan undang-undang Islam perlu dipersetujui oleh semua parti dalam pakatan pembangkang di peringkat Pusat dan negeri.



"DAP negeri sekali lagi ingin menegaskan dan menjelaskan bahawa kami tidak akan memberi sokongan terhadap undang-undang hudud atau apa sahaja berkaitan isu negara Islam," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.



Guan Aik mengulas kenyataan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Mat Noh Ahmad berhubung garis panduan pemasangan papan iklan di kawasannya yang meliputi penggunaan bahasa, landskap dan pakaian model iklan.



TAG