Debaran pilihan raya Presiden AS bermula



COLORADO 4 Oktober - Debat pusingan pertama antara dua calon pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2012, Barack Obama dan Mitt Romney bakal diadakan di Universiti Denver di Colorado, malam ini.



Debat itu yang akan disiarkan secara langsung akan bermula pada pukul pukul 9 malam hingga 10.30 malam waktu tempatan (9 pagi hingga 10.30 pagi waktu Malaysia hari ini) bakal menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk AS tetapi juga penduduk dunia.



Presiden Obama dan Romney daripada Parti Republikan akan membahaskan isu-isu domestik.



Eksekutif Editor PBS NewsHour, Jim Lehrer dipilih menjadi moderator debat itu.



Pada masa sama, Naib Presiden AS, Joe Biden akan berdebat dengan pencabarnya daripada Parti Republikan, Paul Ryan, anggota Kongres dari Wisconsin yang terkenal sebagai seorang yang menyokong bajet konservatif.



Debat itu dijadual diadakan pada 11 Oktober ini di Kolej Pusat di Danville, Kentucky.



Koresponden kanan hal ehwal luar ABC, Martha Raddatz pula akan menjadi moderator debat tersebut.



Debat calon Naib Presiden hanya diadakan sebanyak satu pusingan dan ia meliputi semua isu termasuk dasar luar dan domestik.



Debat pusingan kedua antara Obama dan Romney pula akan diadakan di Universiti Hofstra di Hempstead, New York pada 16 Oktober ini dalam format berbentuk ‘mesyuarat pekan’, apabila kedua-dua calon akan bersemuka dengan pengundi secara langsung dan menanyakan soalan kepada kedua-dua calon tentang pelbagai isu.



Universiti itu pernah menjadi tuan rumah bagi debat antara Obama dan Senator Arizona, John McCain daripada Parti Republikan pada pilihan raya Presiden AS 2008.



Candy Crowley yang merupakan hos bagi program CNN, State of the Union bakal menjadi mederator bagi debat pusingan kedua itu.



Debat pusingan ketiga dan terakhir pula akan berlangsung di Universiti Boca Raton, Florida pada 22 Oktober ini yang memberi tumpuan kepada polisi luar.



Dalam debat terakhir itu, kedua-dua calon Presiden AS itu akan dihoskan oleh Bob Schieffer yang merupakan pengacara program Face The Nation. - REUTERS



TAG