Nasharudin 'lidah panjang' - Nik Aziz

KOTA BHARU 13 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai seorang yang 'lidah panjang' iaitu orang yang suka menghasut ekoran tindakannya sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan keputusan parti.



Pada masa yang sama, Nik Abdul Aziz juga mempersoalkan tindakan Nasharudin kerana tidak berhenti daripada mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan isu yang boleh melemahkan parti itu.



"Dia ini mengarut, mengapa timbul sekarang mengapa tak timbul dulu. Buat apa sekarang baru timbul, masa menjadi calon Pas di Bachok, kenapa tidak timbulkan masa itu. Dasar lidah panjang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Keluarga Mawaddah di sini hari ini.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nasharudin yang sering mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan keputusan parti itu sejak isu penubuhan kerajaan perpaduan timbul.



Sebaik sahaja menjawab soalan tersebut, Nik Abdul Aziz terus berlalu pergi malah sebelum 'diterjah' wartawan, seorang pegawai beliau beberapa kali mengingatkan sidang akhbar tidak akan diadakan.



Sejak kebelakangan ini, pegawai Nik Abdul Aziz sering menghalang wartawan daripada mendekati Nik Abdul Aziz dan sidang akhbar akan dipendekkan sekiranya ada soalan 'panas'.



Difahamkan tindakan itu dilakukan kerana pemimpin Pas bimbang perkara tersebut dijadikan isu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.



Semalam Utusan Malaysia melaporkan Nik Abdul Aziz tetap mahu Pas bekerjasama dengan DAP untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun mendapat tentangan daripada ahli akar umbi termasuk Nasharudin sendiri.



Ekoran daripada kenyataan itu, Nik Aziz telah dibidas oleh beberapa tokoh Islam kerana terlalu taksub untuk bekerjasama dengan DAP walaupun mendapat bantahan daripada umat Islam dan ahli akar umbi parti itu.



Sebelum ini, Nasharudin turut menyelar pemimpin Islam yang sanggup mengetepikan kepentingan agama demi kuasa.



Ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Dakwah Islamiyah Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia' dalam Seminar Dakwah Nasional di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTC) semalam, Nasharudin berkata, golongan tersebut lebih mementingkan maslahah dan strategi daripada melaksanakan prinsip asas dalam Islam semata-mata disebabkan percaturan politik.

TAG