Azab penjara wanita di Syria








Damsyik
–  Krisis politik di Syria kini semakin buruk. Kesannya dirasai seluruh
rakyat Syria, tidak terkecuali banduan wanita di negara itu yang kini
hidup dalam keadaan yang amat menyedihkan.


Sekeping
surat yang ditulis oleh seorang banduan wanita mengenai keadaan
menyayat hati di penjara telah didedahkan oleh laman web pembangkang, 
Zaman-alwsl.net.


Surat itu mendedahkan mengenai kematian tragis seorang tahanan wanita, Hoda Torki Issa, 50 tahun, pada bulan lepas.


“Dia
menghidap pelbagai penyakit. Tidak ada doktor di penjara manakala
pengawal penjara tidak membenarkan mangsa dihantar ke hospital, biarpun
Hoda sedang sakit tenat, memandangkan dia adalah tahanan politik,’’
dedah surat berkenaan.


Menurut
surat berkenaan, seorang pengawal penjara memberitahu, pihaknya tidak
akan menghantar satu unit pengawal hanya semata-mata untuk mengiringi
seorang tahanan.


Akibatnya,
mangsa meninggal dunia di depan rakan-rakannya dan mayatnya masih
berada dalam bilik mayat di hospital, manakala anggota keluarganya pula
tidak dimaklumkan mengenai kematiannya itu.


Surat
itu juga mendedahkan bagaimana tahanan wanita menerima layanan kejam
dan mereka terpaksa berdepan dengan kekurangan makanan, dipaksa membeli
air serta hidup dalam keadaan gelap gelita kerana tiada elektrik.


Hanya
35 daripada 100 tahanan dibenarkan menerima tetamu, sekali gus
membuktikan anggota keluarga tahanan wanita itu tidak mengetahui di mana
tahanan tersebut dipenjarakan.


Anak-anak
gadis yang dihantar ke sini mempunyai parut kesan siksaan. Ramai
tahanan yang meninggal dunia akibat penyakit sementara pengawal penjara
hanya mampu memberikan ubat paracetamol sahaja.


Tahanan wanita yang sedang mengandung dan kanak-kanak turut ditahan dan anak mereka tidak diberikan susu formula.


Mereka kini amat berharap agar Presiden Bashar Assad tumbang dengan segera .

TAG