"Mereka kejam dan tidak berperikemanusiaan"



LAHAD DATU - "Sedih memang sedih tetapi ia bertukar kepada semangat yang tinggi untuk berkhidmat pada tanah air.



Demikian kata Pembantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Raival T Maujip, 26, ketika melihat dua wira negara terbujur kaku di dalam trak polis di persimpangan Kampung Tanduo, 1 Mac lalu.



Dalam kejadian itu, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud gugur dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata di kampung berkenaan.





Katanya, dia yang berasal dari Tambunan diarahkan bersedia bersama 10 anggota termasuk tiga pegawai di bilik kawalan JPAM di Felda Sahabat 16 oleh Pegawai JPAM Daerah Lahad Datu, Hussain Mohd Noor.



Raival berkata, dua ambulan JPAM dan dua ambulan Kementerian Kesihatan digunakan selepas mendapat arahan tersebut.



"Saya tidak tahu tujuan sebenar kami berkumpul. Cuma yang diberitahu berlaku keadaan huru-hara di Kampung Tanduo.





"Hati saya tidak tenteram dan terfikir mungkin ada yang cedera dalam pertempuran itu," katanya.



Menurutnya, kira-kira jam 9 pagi, dia bersama pasukan bergerak dan kemudiannya menunggu di persimpangan kampung tersebut, 500 meter dari Pusat Perpindahan Dewan Embara Budi.



Sejam kemudian, Raival berkata, dia terlihat sebuah trak polis keluar dari jalan tersebut.



"Ketika itu saya melihat ada dua mayat di dalam trak. Hati terus sayu namun saya kuatkan diri demi tanggungjawab.



"Bagaimanapun, ketika saya mengambil stretcher di dalam ambulan untuk kegunaan pemindahan mayat, ketua saya memaklumkan trak polis akan membawa jenazah ke hospital," katanya.



Raival berkata, dia cuba bertanya keadaan jenazah daripada ketuanya itu namun tiada jawapan yang diperolehi.



"Dia kata cukup sekadar saya tahu wira negara gugur. Daripada situ saya faham apa yang berlaku," katanya.



Riak wajah pemuda itu jelas menunjukkan dia berdendam dengan apa yang dilakukan oleh penceroboh terhadap dua wira negara itu.



"Saya geram dan sakit hati terhadap penceroboh. Mereka kejam dan tidak berperikemanusiaan," katanya.



Perbualan kami berakhir di situ disebabkan tidak mahu Raival bersedih kerana dia masih mempunyai tugas berat bersama pasukan di situ.



Dia dilihat lebih bersemangat dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi terhadap negara. Semuanya melalui pemerhatian riak wajah dan genggaman erat jari jemarinya.
TAG