PANAS: Mesej pembangkang kepada rakyat







1 Ketika rakyat Malaysia bertumpu memperkatakan isu pencerobohan di Lahad Datu, Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam sidang akhbarnya pada 1 Mac 2013 antara lain mendakwa tembak menembak di daerah itu sebagai konspirasi terancang kerajaan Barisan Nasional untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.



Sejak 1 hingga 20 Mac 2013, sebanyak 1,361 laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak bertujuan mendesak supaya polis menjalankan siasatan ke atas Tian Chua. Pada masa sama dari 1 hingga 14 Mac 2013, sebanyak 383 demonstrasi aman dianjurkan oleh pelbagai pihak berkaitan isu yang dicetuskan Tian Chua. Tian Chua dituntut memohon maaf kepada keluarga mangsa pasukan keselamatan yang terkorban akibat insiden itu.



2 Rata-rata pemimpin Pas seperti Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Mohamad Sabu memperlekeh dan mempersoalkan kelemahan kerajaan dalam menangani isu ini.



3 Kalangan pemimpin DAP dilihat amat berhati-hati dalam menyentuh dan mengulas isu pencerobohan di Lahad Datu selain mendesak supaya sidang Khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu berkenaan. DAP mengambil 'jalan selamat' ini kononnya sensitif itu isu sesama Islam. Namun boleh pula DAP jadi 'juara' dan sering ke depan dalam isu melibatkan bukan Melayu. Contohnya, isu kematian Kugan, Teoh Beng Hock dan juga serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas gereja di Damansara.



4 Setelah ribuan laporan polis dibuat dan ratusan demonstrasi dianjurkan, baharu kelihatan kelibat pemimpin kanan pembangkang menganjurkan kutipan derma untuk membantu keluarga wira-wira negara yang terkorban. Pada 18 Mac, Salahuddin Ayub dari Pas menyerahkan cek RM10,000 kepada wakil PDRM di Kota Kinabalu. Turut hadir Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd. Amiruddin Aling.



5 Mati sebagai mati syahid juga dipolitikkan. Ketika Majlis Fatwa Kebangsaan pada 6 Mac lalu menetapkan bahawa 10 anggota polis dan tentera yang terbunuh dalam pertempuran meninggal dunia sebagai 'syahid akhirat', Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib kira-kira 10 hari kemudian tampil dengan 'fatwanya'.



"Kalau mereka mahu pertahan negara itu (mati) syahid (iaitu) syahid dunia, bukan syahid dunia akhirat."



Harun menjelaskan, kematian perwira terbabit tidak dikategorikan syahid dunia akhirat kerana tidak jelas niat sebenar mereka sama ada untuk pertahankan negara, membela Islam atau sebab-sebab lain.



Jika mengambil kira ungkapan Harun itu iaitu 'jika tidak jelas niat sebenar para syuhadah (gelaran buat perwira yang gugur syahid berdasarkan fatwa Majlis Fatwa kebangsaan ) yang gugur itu, bagaimana pula Harun boleh menyifatkan kematian para pejuang itu sebagai syahid dunia."



6 Salah seorang bekas Jeneral yang kini berada di platform pembangkang, Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein dalam ceramah di Taman Serai Perdana, Bagan Serai pada 16 Mac lalu menyifatkan kegagalan pasukan keselamatan mengesan kemasukan pengganas Kiram sebagai 'sesuatu yang bodoh'.



Md. Hashim dipetik sebagai berkata: "Kalau dari mula pengganas dapat masuk, kita tidak dapat kesan, tidak ke bodoh? Apa maknanya ini? Selepas itu aset dan kapal kita yang dibeli begitu mahal, mana dia? Atau kita beli dengan mahal tetapi dapat aset murah?"



7 Ini satu lagi kenyataan daripada seorang dari lima bekas 'jeneral pembangkang'.



Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid menuduh pasukan keselamatan negara gagal menyelesaikan konflik di Lahad Datu dalam masa singkat ekoran campur tangan politik kerajaan BN.



Ketika bercakap pada Forum Solidariti Lahad Datu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) 12 Mac lalu, Ghafir menganggap Ops Daulat secara keseluruhan gagal menentang penceroboh kerana tumpuan operasi terganggu dengan matlamat politik.



"Terlalu banyak objektif politik, (contohnya) nak 'tangkap' Datuk Seri Anwar Ibrahim. Isu politik yang dibawa menyebabkan tentera tidak jelas dengan objektif operasi mereka.



"Jadi saya rasa (ia punca) operasi keselamatan 'gagal sepenuhnya' sejak hari pertama," katanya.



8 Rakannya dalam PKR, bekas jeneral ATM, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab pula membidas cara kerajaan menangani isu pengganas Kiram.



Kata Abdul Hadi baru-baru ini: "Mengapa (operasi masih) diberi kepada pihak polis sedangkan musuh datang dari pihak luar? Ini tugas tentera. Keputusan menentukan strategi (menyerang musuh) juga mengambil masa lama. Lebih buruk, perisikan juga kelihatan gagal mengenal pasti identiti dan keupayaan (persenjataan) musuh.



"Kerajaan sepatutnya memutuskan sama ada menggunakan taktik peperangan konvensional atau kaedah mengawal insurgensi (pemberontakan). Atau strategi bercampur antara kedua-duanya?" katanya.



Abdul Hadi turut membidas Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM kerana lalai melaksanakan tugas hingga gagal memberi amaran awal pencerobohan.



9 Mengambil kira impak negatif kenyataan yang dikeluarkan Tian Chua, difahamkan mesyuarat pakatan pembangkang baru-baru ini mengeluarkan 'pekeliling' bahawa semua isu sensitif mengenai Ops Daulat perlu diselaraskan oleh sekretariat sahaja. Ahli politik biasa pakatan pembangkang diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Cuma, pemimpin tertinggi boleh mengulas isu berkenaan.



10 Difahamkan, dalam pentas ceramah anjuran pembangkang akhir-akhir ini, mereka yang berucap 'perlu' memuji PDRM dan ATM untuk menaikkan semula moral serta meraih kembali kepercayaan pasukan keselamatan kepada pakatan itu.



11 Setelah acap kali melancarkan 'perang' dakyah dan mentohmah kerajaan dengan memanipulasi isu-isu tertentu, pakatan pembangkang mula beralih kepada isu pencerobohan Lahad Datu yang menjadi bualan ramai. Mungkin itu antara sebab pembangkang dikatakan akan menubuhkan satu majlis penasihat keselamatan yang dianggotai jeneral dan pegawai kanan polis bersara. Ini untuk memberi nasihat kepada pakatan itu dalam isu keselamatan negara.









TAG