PM minta rakyat jangan percaya khabar angin

Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat negara ini terutama di Sabah supaya tidak mempercayai khabar angin bahawa keadaan keselamatan di negeri itu kini dalam keadaan tidak terkawal berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu dan kawasan berhampiran.


Perdana Menteri berkata, kejadian tembakan susulan pencerobohan itu hanya berlaku di tiga tempat iaitu Lahad Datu, Semporna dan Kunak dan tidak berlaku di tempat-tempat lain.


“Kalau ada khabar angin ia adalah tidak berasas dan tidak berpandukan hakikat sebenar. Rakyat Sabah terutamanya jangan rasa gementar atau takut akan keselamatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh, dekat Kangar, Ahad.


Beliau berkata, pihak keselamatan sedang menjalankan operasi mengikut keadaan dan situasi semasa di ketiga-tiga kawasan tersebu.


“Berilah peluang dan masa untuk mereka lakukan tindakan dan operasi untuk tumpaskan kumpulan itu dan selamatkan pihak-pihak di sana,” katanya.


Najib berkata, beliau yakin dan percaya akan kemampuan pasukan keselamatan negara apatah lagi kini anggota keselamatan di sana telah ditambah.


Klik SINI