Strategi politik atau kepentingan peribadi





MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-13, soal siapa calon, kawasan mana hendak bertanding dan berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi mula hangat diperkatakan. Barisan Nasional (BN) dikatakan sudah selesai dari segi pembahagian kerusi tanpa sebarang masalah biar pun mempunyai 13 parti komponen.



Pakatan pembangkang pula dikatakan masih teraba-raba kerana mencari jalan penamat memandangkan masing-masing mahu tambahan kerusi.



Bagi kerusi Parlimen, Pas yang bertanding sebanyak 66 kerusi pada pilihan raya umum lalu dan menang 23 kerusi sudah menyatakan akan bertanding 76 kerusi, DAP yang bertanding 47 kerusi sebelum ini telah meminta tambahan kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding 97 kerusi belum membuat sebarang pendirian.



Apa pun yang menjadi tumpuan pada masa ini, apabila ada pengumuman rasmi oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Lim Kit Siang yang kini menjadi Ahli Parlimen Ipoh Timur akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah. Anwar sendiri pula diura-urakan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauuh yang merupakan kerusi tradisinya sejak mula-mula bertanding dalam pilihan raya pada 1986. Kerusi berkenaan pernah disandang oleh isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, sebelum Presiden PKR itu meletakkan jawatan bagi membolehkan suaminya kembali berkuasa di situ melalui satu pilihan raya kecil pada tahun 2009.





Berpindah tempat bertanding bukanlah satu kesalahan dan ia dibenarkan dalam peraturan pilihan raya. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, sepanjang kariernya pernah bertanding di tiga kerusi Parlimen iaitu di Nilam Puri (1990 hingga 1995) yang kemudiannya ditukar kepada Kubang Kerian), Parlimen Kubang Kerian (1995-1999), Kuala Kedah (1999-2004) dan Kuala Terengganu pada pilihan raya umum lalu tetapi tewas.



Pengerusi DAP, Karpal Singh pula pernah bertanding di Parlimen Alor Setar pada tahun 1974 tetapi kalah, sebelum ‘berpindah’ ke Pulau Pinang dengan menjadikan Parlimen Jelutong sebagai kubu kuat beliau. Karpal bertahan di situ mulai 1978 hingga 1999 sebelum bertanding di Parlimen Bukit Gelugor mulai 2004 selepas tewas di Jelutong pada 1999.



Bagi penganalisis politik, perubahan kawasan bertanding ini adalah strategi taktikal oleh parti-parti pembangkang khususnya untuk memastikan kemenangan pemimpin-pemimpin mereka. Bagaimanapun dalam keadaan penamaan calon masih belum dipastikan bila akan berlangsung, BN tidak boleh terperangkap dengan taktik berkenaan.



BN perlu berhati-hati dalam soal ini kerana mungkin perubahan ini adalah satu kenyataan atau ia hanyalah sekadar gimik politik bagi mengelirukan BN dalam menentukan calon.



Tindakan berubah kawasan ini boleh dianggap satu strategi untuk mengelakkan mana-mana ahli politik dituduh tidak menunaikan janji apabila dipilih dalam pilihan raya sebelum ini.



Bagaimanapun, alasan itu belum mampu menutupi andaian bahawa pemimpin yang berbuat demikian sebenarnya takut dengan kekalahan jika terus kekal di kawasan tradisinya. Inilah yang berlaku kepada Anwar yang diura-urakan akan berpindah kawasan.



Kalaulah benar apa yang dikhabarkan, maka ia mengesahkan teori pelbagai pihak sebelum ini bahawa beliau dilihat semakin memahami cengkaman pengaruh politiknya di Parlimen Permatang Pauh semakin longgar, malahan sudah ada ura-ura bahawa jentera pilihan raya Pas tidak akan menyokong jika beliau masih bertanding di situ.



Tambahan pula, sokongan rakyat di kawasan berkenaan kepada beliau juga dikatakan semakin merudum. Semua ini sudah tentulah meresahkan Anwar yang begitu mengharapkan akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum nanti.



Justeru mahu tidak mahu, Anwar terpaksa mencari kawasan baru supaya beliau dilihat sebagai calon baru bagi kawasan berkenaan.



Pelbagai spekulasi juga dibuat apabila Kit Siang yang dilahirkan di Batu Pahat, Johor membuat keputusan bertanding di Parlimen Gelang Patah. Walaupun ‘kepulangan’ itu dianggap sebagai strategi pembangkang untuk meraih sokongan rakyat namun ada pula yang mengaitkannya dengan masalah dalaman DAP tetapi jawapan sebenar hanya ada kepada Kit Siang dan DAP.



Sememangnya politik juga ibarat sebuah peperangan yang memerlukan strategi taktikal bagi mencapai kemenangan. Bagaimanapun dalam keghairahan menggunakan strategi seumpama itu, ia masih belum tentu membawa kejayaan.



Atas sebab itulah BN perlu berhati-hati dalam soal ini. Ia memandangkan pemilihan calon yang tepat bagi sesuatu kawasan adalah strategi terbaik untuk memastikan sesuatu parti itu mencapai kemenangan.



Justeru biarlah apa pun yang akan dilakukan oleh pembangkang, jangan ada dalam kalangan pemimpin BN yang berhasrat untuk mengubah kawasan bertanding semata-mata mahu mencari kawasan selamat. Sejarah politik negara menunjukkan pemimpin-pemimpin yang hebat dan disayangi rakyat tidak pernah berhasrat berbuat demikian.



Bagi parti pembangkang strategi mengubahkan kawasan ini dilihat paling berkesan untuk mengukuhkan kedudukan mereka.



Keadaan itu berlaku kerana mereka begitu yakin bahawa ada kelompok pengundi yang akan terus setia dengan mereka biar pun sudah mengetahui rekod mereka sebagai wakil rakyat. Sebab itulah di Kelantan, kalau dikaji, Pas negeri itu meletakkan sesiapa sahaja di kawasan-kawasan yang dianggap kubu kuat mereka.



Soal sama ada wakil rakyat itu orang luar, mampu menunaikan janji atau boleh memberikan perkhidmatan terbaik bukanlah perhitungan. Malahan sejarah juga menunjukkan bagaimana ada kerusi-kerusi Parlimen di Kelantan dijadikan ‘kerusi empuk’ untuk pemimpin-pemimpin Pas yang mempunyai jawatan dalam parti tetapi belum tentu menang bertanding di negeri sendiri.



Sebagai contoh, Nasharudin Mat Isa yang pernah menjadi Timbalan Presiden Pas telah dipilih bertanding di Bachok, Mohamed Sabu pernah diberi laluan di Kubang Kerian dan kawasan Parlimen itu bakal melihat calon baru daripada Pas jika benar Naib Presiden parti itu, Salahudin Ayub yang kini Ahli Parlimen kawsan berkenaan berpindah bertanding di Johor.



Tidak kira apa pun alasannya yang memungkinkan seseorang itu berpindah kawasan atau berubah kerusi dari Parlimen ke Dewan Undangan Negeri atau apa yang lebih penting daripada itu nasib mereka akan ditentukan oleh rakyat.



Dalam soal ini, rakyat di sesuatu kawasan perlu membuat penilaian yang bijak kerana pilihan raya umum bukannya demi survival politik mana-mana individu tidak kira sama ada ia pembangkang atau BN. Sebaliknya penilaian yang perlu dibuat, sejauh manakah individu itu dan partinya mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.



Pilihan raya adalah soal untuk memberi pilihan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang mampu membela nasib mereka. Ia bukannya medan bagi mana-mana parti politik melakukan perhitungan semata-mata untuk meraih kuasa dan kedudukan.



Apatah lagi jika parti itu hanya bijak menabur janji dan memperdagangkan mimpi seperti pakatan pembangkang!


TAG