BN mesti menang demi maruah agama, bangsa dan tanah air




Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu supaya seluruh pemimpin Barisan Nasional (BN) dari semua peringkat tidak alpa dengan kemenangan BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.





Timbalan Perdana Menteri berkata,

BN tidak harus mengambil mudah atas kemenangan itu menerusi calonnya, Dr. A. Rahman Mokhtar yang memperlohei undi majoriti 2,434 pada PRU tempoh hari.





Katanya, apa yang lebih penting, BN perlu bekerja kuat dan bersungguh-sungguh bagi memastikan calon PRK Kuala Besut menang dengan majoriti lebih besar pada PRK kawasan itu 24 Julai ini.





"Jangan andaikan Kuala Besut kubu kuat BN, kalau pengundi tak keluar dan sokong kita, kita bimbang kalau itu berlaku, undi majoriti lebih rendah daripada majoriti pada PRU lalu.





"Kita (BN) kena bersungguh-sungguh lagi agar majoriti undi pada PRK Kuala Besut nanti lebih besar berbanding (majoriti) pada PRU lalu," katanya.





Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden BN ketika berucap pada program Pelancaran Jentera dan Penamaan Calon BN PRK Kuala Besut di Dataran Kuala Besut dekat sini hari ini.





Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan jurutera awam di Jabatab Pengairan dan Saliran (JPS), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon BN bagi PRK kawasan itu.





Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Biro Publisiti, Datuk Ahmad Maslan; Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Pengarah BN PRK Kuala Besut merangkap Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.   


Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharudin juga hadir.





Muhyiddin yang juga Pengarah PRK Kuala Besut mengajak seluruh penduduk kawasan berkenaan agar keluar mengundi calon BN pada PRK Kuala Besut nanti bagi membolehkan pembangunan terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.





Menurutnya, PRK Kuala Besut mempunyai signifikan tersendiri dengan harapan BN dapat diperkukuhkan bagi memastikan kemenangan besar calon BN di kawasan itu.





"Keputusan BN menang adalah penting untuk kita teruskan kesinambungan pembangunan negara.


"Jadi, kita mahu rakan-rakan pemimpin yang mendokong BN supaya bekerja bersungguh-sungguh (untuk PRK Kuala Besut) walaupun diadakan pada bulan Ramadan," ujarnya.


Muhyiddin berkata, ia merupakan satu cabaran bagi BN dan penyokongnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di samping tidak lupa menunaikan ibadah dalam bulan puasa seperti dituntut oleh Islam.


Beliau juga mahu melihat nasib  penduduk Kuala Besut yang sebahagian besarnya dari golongan nelayan dan petani terus terbela dan mampu meraih lebihan pendapatan. Jika diperintah oleh BN.





"Ini amanah besar yang bukan saja di Besut malah di seluruh Terengganu akan terus bergerak maju di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk seri Najib Tun Razak," katanya.



TAG