Remaja mati ditembak ketika berbual


Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas ditembak dari jarak dekat oleh lelaki yang menaiki motosikal di Bagan Dalam, di Butterworth malam tadi.


M. Ravindran, 19, yang cedera parah selepas ditembak tiga das di rusuk kiri, mati ketika tiba di Hospital Seberang Jaya.


Dua lagi yang cedera, S. Leenesh, 18, dan A. Sukumar, 52, dikejarkan ke hospital yang sama oleh orang ramai.


Ketiga-tiga mereka sedang berbual di bawah jejambat pukul 10 malam apabila sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghampiri mereka dan seorang daripada lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah mereka, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim.


Beliau berkata lelaki bersejata itu melepaskan sekurang-kurangnya enam das tembakan memandangkan siasatan awal polis di tempat kejadian menemui enam kelongsong peluru.


“Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam,” katanya.


Beliau berkata M. Ravindran yang tinggal di Flat Pantai Bersih tidak bekerja manakala seorang daripada lelaki yang cedera itu tinggal di Hujung Batu, dan seorang lagi dari Kulim, Kedah.


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - wowberita.com

TAG