Saya Serik main mercun




‘Saya serik main mercun, tak mahu main lagi,’ kata mangsa pertama yang dimasukkan ke hospital akibat terkena letupan mercun buatan sendiri.



Mohd Aiman Amzar Jamsari, 13, kini telah dibenarkan pulang setelah mendapat rawatan selama tiga hari di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.


Bagaimanapun dia masih perlu melakukan rawatan susulan bagi mengelak sebarang jangkitan kuman di bahagian mukanya.


Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka mercun buatan itu akan meletup ketika dia ingin mengeluarkan serbuk belerang di dalam meriam paip itu.


“Saya memang tak sangka, bila saya masukkan kayu untuk keluarkan belerang, meriam itu terus meletup,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bersatu, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Kebajikan Umno Baling, Noor Azman Ramli; wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Haslina Hambali dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Taman Bersatu, Zoawe Ahmad


Katanya, dia tidak membuat meriam paip itu, tetapi sekadar ingin bermain bersama rakan-rakannya.


“Orang lain yang buat, saya tak tahu macam mana depa buat, tapi kawan saya cakap, depa ambil besi terpakai untuk buat meriam itu.


“Saya pun cubalah main, tapi tak sangka akan jadi begini,” katanya.


Sementara itu ayahnya, Jamsari Ismail, 37, berkata, doktor mengesahkan kebakaran itu hanya di bahagian kulit muka anaknya.


“Bahagian mata tak ada masalah, mungkin masa kejadian, dia (anak) sempat tutup mata, kalau tidak mungkin lagi teruk.


“Bagaimanapun, rawatan susulan perlu dibuat, 18 Julai ini kena berjumpa doktor pakar untuk periksa kecederaan lain pula,” katanya.


Mohd Aiman yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Tunku Putera itu kini mendapat cuti selama 18 Julai dan kemungkinan akan disambung sekiranya perlu menjalani rawatan doktor.


Jamsari berkata, dia bersyukur kerana anaknya itu telah dibenarkan pulang dan berada dalam keadaan stabil.

TAG