Budak Mangsa Dera Ibu Sendiri Meninggal




Kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa dera ibu kandungnya sendiri akhirnya meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh petang tadi.


Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 16 Ogos lalu.


Ibunya, Choong Mee Chin, 30, sebelum ini telah didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiayai anaknya dengan cara memukul kepala dan seluruh badannya dengan menggunakan sebatang rotan di ruang tamu rumah No 19 Laluan Kledang Utara 7, Taman Wang, Menglembu pada kira-kira jam 9 pagi, pada hari berkenaan.


Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah ke atas anaknya itu di tempat dan masa yang sama.


Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan meminta dirinya dibicarakan.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Hulu Kinta.


Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 September depan.

TAG