Mat Yo langsai hutang




Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan kes saman persatuan itu terhadap bekas penyerang The Red Warriors musim lalu Norshahrul Idlan Tahala selesai.





Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim ketika dihubungi pemberita di sini, semalam.





Azman berkata, kes saman tersebut telah diselesaikan di luar mahkamah dan pihaknya berharap isu tersebut tidak dibangkitkan.





“Kes ini telah diselesaikan di luar mahkamah dan berharap tidak akan ada lagi sebarang isu yang timbul berhubung perkara berkenaan selepas ini,” katanya selepas diminta mengulas mengenai notis saman KAFA ke atas Norshahrul Idlan yang kini beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT).





KAFA telah mengiklankan writ saman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 9 Jun lalu berhubung tuntutan saman persatuan terhadap Norshahrul Idlan dalam akhbar Utusan Malaysia, kelmarin.





Dalam tuntutan tersebut, KAFA selaku plaintif menuntut ganti rugi RM120,975 berserta faedah lima peratus sebulan bermula 14 Mac lalu daripada Norshahrul selaku defendan, sehingga kes tersebut diselesaikan sepenuhnya dan kos.





Sementara itu, sumber dalaman KAFA memberitahu, penyerang JDT itu telah menjelaskan semua tuntutan yang dibuat selepas dua hari notis tersebut dikeluarkan.





“Jumlah tersebut telah dijelaskan oleh Norshahrul selepas notis penyampaian tersebut dikeluarkan,” ujarnya.

TAG