Arsenal kecewa seri dengan Chelsea



ARSENAL terlepas peluang kembali ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris apabila seri dengan Chelsea 0-0 di London, awal pagi tadi.



Ia juga merupakan malam yang mengecewakan bagi pengurus Arsenal Arsene Wenger yang sekali lagi gagal mengalahkan pengurus Chelsea Jose Mourinho dalam pertemuan kali ke-10 ini.



"Kami sepatutnya menang malam ini," kata Wenger.



"Kami gelisah pada mulanya tetapi menguasai perlawanan pada separuh masa kedua," katanya.



Arsenal juga merungut apabila tidak diberi sepakan penalti apabila Willian mengasari Theo Walcott manakala Jon Obi Mikel bernasib baik tidak dilayang kad merah selepas mengasari Mikel Arteta.



Formasi 4-5-1 Chelsea dengan Fernando Torres sebagai satu-satunya penyerang berjaya menyekat Arsenal.



Namun, Frank Lampard hampir membuka tirai jaringan sebelum berakhirnya babak pertama tetapi cubaannya terkena palang.



Mourinho berkata, corak permainan bertahan ini merupakan perlawanan taktikal bagi pasukannya.



"Walaupun kami mahu pemain kreatif yang dapat menyerang, ada perlawanan yang memerlukan falsafah permainan yang berlainan," katanya.



Chelsea kini berada di tangga keempat dan hanya dua mata di belakang Liverpool manakala Arsenal berada di tempat kedua kerana perbezaan gol. - AFP
TAG