Kanak-kanak mati dalam kereta



MAYAT Muhammad Aqil Arfan Adnan dibawa untuk bedah siasat ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

Advertisement

ALOR SETAR 20 Ogos - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas ditinggalkan bapanya secara tidak sengaja selama lebih lapan jam di kawasan letak kenderaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kuala Nerang dekat sini hari ini.


Difahamkan bapanya, Adnan Salleh, 40-an, yang merupakan guru agama sekolah itu meninggalkan mangsa, Muhammad Aqil Arfan Adnan di dalam kereta tersebut sebaik sahaja sampai di sekolah untuk mengajar kira-kira pukul 7.30 pagi.


Beliau bagaimanapun hanya menyedari kehadiran mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik selepas selesai bekerja iaitu kira-kira pukul 4 petang.


Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang, tetapi disahkan telah meninggal dunia sebaik sahaja tiba di situ.


Saudara mangsa, Soaid Adam, 45, berkata, bapa mangsa dipercayai tidak menyedari anak lelakinya itu yang sedang tidur tertinggal di kerusi belakang kereta itu.


Katanya, Adnan bersama isterinya, Asiah Abu, 30-an yang merupakan seorang guru di SMK Dato' Syed Ahmad, Kuala Nerang dan anak mereka keluar dari rumah di Kampung Padang Durian, Pendang, kira-kira pukul 6.45 pagi.


"Selalunya Adnan akan melalui jalan Pokok Sena, kemudian akan menghantar anaknya dahulu ke tadika dan selepas itu barulah menghantar isterinya ke SMK Dato' Syed Ahmad, manakala dia pula akan ke SMK Kuala Nerang.


"Tetapi entah kenapa rutin Adnan bertukar hari ini, beliau melalui jalan Naka dan menghantar isterinya dahulu lalu terus ke SMK Kuala Nerang. Beliau mungkin terlupa untuk menghantar anaknya ke tadika tersebut," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah ( HSB) di sini hari ini.


Menurut Soaid, jarak tadika berkenaan dengan tempat Adnan mengajar tidak jauh iaitu kira-kira 150 meter.


"Saya memang terkejut apabila Adnan maklumkan hal ini kira-kira pukul 7.30 malam. Saya tidak sangka hal ini akan menimpa keluarga kami," jelasnya.


Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.


"Punca kejadian masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan," katanya.


TAG