Malaysia ada hubungan dagang dengan Israel?



DESAKAN banyak pihak sejak akhir-akhir ini supaya Malaysia menghentikan hubungan dagangan dengan Israel ada asasnya.



Hakikatnya, bagi 2013, Malaysia adalah destinasi eksport ke-11 terbesar bagi Israel, dengan nilai eksport hampir AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion), seperti laporan Biro Statistik Pusat Israel.



Tetapi, tidak mudah untuk mengelakkan perdagangan dengan Israel, terutama dalam dunia hari ini, memandangkan semua negara saling berkait antara satu sama lain.



Perkara ini diakui Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, yang juga pakar ekonomi Islam, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.



“Kita (Malaysia) tidak ada hubungan langsung dengan Israel, tetapi syarikat multinasional yang beroperasi di sini mungkin ada, contohnya syarikat barangan elektronik yang membuat pemasangan di sini.



“Kita tidak ada kuasa untuk halang mereka berhubung dengan Israel,” katanya.



Rangkaian perdagangan global juga semakin rumit kerana syarikat dari Israel, yang menyedari kedudukan negara itu tidak diiktiraf banyak negara lain, sudah lama ‘mempelajari’ cara untuk menembusi pasaran luar termasuk negara yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan mereka.



Antara pendedahan terbesar berhubung perkara ini dibuat dalam laporan agensi berita Bloomberg pada akhir 2011.



Siasatan Bloomberg itu melaporkan syarikat Israel, Allot Communications menghantar alatan pemantauan internet ke pengedar di Denmark, RanTek.



Setibanya di sana, pekerja RanTek membungkus semula dan membuang label pada produk itu untuk menyembunyikan negara asal produk itu.



Mereka kemudian menghantarnya ke Iran, negara yang sering mengecam rejim Zionis tanpa diketahui pihak berkuasa di Israel dan Iran.



Dan di bawah undang-undang Denmark, penjualan itu adalah sah.



Menurut laporan akhbar Israel, Haaretz pada 2012, realitinya, banyak syarikat negara itu yang mula mencari pasaran dunia ketiga, termasuk negara yang tidak mesra Zionis selepas dunia Barat berdepan pelbagai krisis ekonomi.



“Negara-negara ini dikatakan mempunyai ramai peminat terhadap teknologi dan produk Israel tetapi disebabkan sensitiviti politik, pelekat ‘Buatan Israel’ perlu dibuang dan dokumen penghantaran perlu dikeluarkan dari negara ketiga, sama ada Turki atau Eropah,” menurut laporan Haaretz.





Malaysia pasaran berpotensi bagi Israel



Dalam dunia perniagaan, perdagangan antara Israel dengan negara Islam bukan rahsia.



Banyak syarikat Israel mengeksport produk ke Arab Saudi, selalunya dilakukan melalui anak syarikat Israel yang berdaftar di AS, untuk mengambil manfaat daripada hubungan kuat antara AS dan Arab Saudi.



Negara Teluk yang kaya juga menjadi lokasi tarikan untuk perniagaan Israel, seperti Dubai, Abu Dhabi dan Qatar.



Namun, hubungan perdagangan Israel menjangkaui rantau Timur Tengah.



Bekas Ketua Pengarah Kementerian Luar Israel, Alon Liel berkata, Malaysia dan Indonesia menjadi fokus rejim itu pada 1990-an dan Tel Aviv menumpukan usaha besar untuk membangunkan hubungan ekonomi dengan dua negara Islam itu yang mempunyai potensi ekonomi kukuh namun tiada perhubungan diplomatik dengan Israel.



Ia dilakukan semasa kemuncak Perjanjian Oslo pada 1993, yang disangka akan menjadikan hubungan ekonomi Israel dengan negara Arab dan Islam lebih terbuka serta produktif.



Ini kerana Perjanjian Oslo dilihat sebagai kemajuan besar dalam konflik Palestin-Israel apabila Pertubuhan Pembebasan Palestin dan Israel menandatangani persetujuan mengiktiraf satu sama lain.



“Kami (Israel dengan Malaysia dan Indonesia) mencapai pelbagai jenis persefahaman untuk perdagangan melalui kedutaan terdekat (pada masa itu).



"Kami siarkan iklan dalam akhbar untuk menarik minat perniagaan Israel melabur di sana (Malaysia dan Indonesia).



“Namun sejurus selepas itu, Malaysia dan Indonesia membatalkan semua persefahaman itu. Perdagangan kemudian dibuat secara bawah tanah,” kata Liel.



Laporan Haaretz itu juga menyebut Singapura menjadi tapak bagi syarikat Israel untuk menembusi pasaran Malaysia dan Indonesia, dan ini diakui Pengerusi Majlis Perdagangan Israel-Indonesia Emanuel Shahaf dalam satu tulisannya mengenai perdagangan negara Islam dengan Israel.



“Tidak semua eksport dari Israel ke Singapura kekal di negara itu,” katanya.



Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, walaupun sukar untuk Malaysia memutuskan 100 peratus hubungan dengan setiap syarikat yang ada kaitan perdagangan bersama Israel, namun umat Islam masih boleh memboikot syarikat Israel.



“Sesetengah syarikat yang memang diketahui milik Israel, amat wajar kita boikot,” tegasnya.
TAG