SURAT TERBUKA UNTUK PEMIMPIN DAN AHLI PAS-Adun Bukit Payung




Sahabatku Pemimpin dan Ahli PAS,


Kita semua menyedari sebab utama penyertaan kita dengan PAS kerana PAS adalah jemaah Islam  yang berusaha  untuk mengumpulkan ummah untuk menegakkan tuntutan Islam dan syariat Allah. PAS bergerak di landasan yang bersumberkan rujukan asas Islam iaitu Al-Quran, Hadis, Ijma dan Qias. PAS berpolitik yang didasari dengan prinsip-prinsip Syara’ dan kaedah-kaedah fekah. PAS sentiasa mengingatkan kita dengan firman Allah :

”Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An Nisaa : 59)


Kalam suci ini memberi panduan kepada jemaah Islam dan pendokong-pendokongnya untuk merentasi jalan perjuangan yang panjang dan mencabar ini. Segala kekhilafan dan perbezaan pandangan mampu diurus dan disatukan dengan kesediaan seluruh pemimpin dan ahli PAS untuk kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang diperkukuhkan dalam PAS. Majlis Syura Ulama merupakan satu badan yang berperanan untuk merealisasikan ajaran Al-Quran untuk seluruh pendokong Jemaah Islam. Setiap pemimpin dan ahli PAS mesti menjadikan panduan al-Quran dalam memperteguhkan Jemaah dan menyatukan pendirian mereka.

Firman Allah :

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).(An Nisaa : 83)


Apakah sikap segelintir pemimpin dan ahli-ahli PAS yang mula mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama mula melupai panduan Al-Quran akibat terlalu terikut dgn kepimpinan PKR dan DAP? Majlis Syura Ulama tidak pernah melanggari bidang tugasnya, khususnya dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor.


Sahabatku Pemimpin dan Ahli PAS,


Majlis Syura Ulama berhak untuk menyatakan keputusan dalam persoalan ini kerana ia tidak boleh dipisahkan daripada beberapa prinsip asas dalam politik Islam.


Pertama : Adakah Hukum Islam membolehkan untuk melantik Menteri Besar dari kalangan wanita?


Kedua : Adakah hukum Islam membenarkan kita melucutkan jawatan seseorang pemimpin tanpa apa-apa sebab atau apakah sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara’ untuk melucutkan jawatan seseorang yang telah dibaihkan untuk memerintah dan memimpin sebuah kerajaan?


Menteri Besar Selangor bukan Menteri Besar untuk ahli-ahli PKR sahaja tapi ia adalah Menteri Besar Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri dan rakyat Selangor. PAS tidak boleh berpolitik dengan menafikan ajaran Rasulullah, walaupun ajaran ini dilupai dan tidak diendahkan oleh orang lain. Rasulullah bersabda :

Tidak sesekali akan berjaya sesuatu kaum yang melantik pemimpin mereka daripada kalangan wanita. (Diriwayatkan oleh Bukhari, Tirmizi, Nasai dan Ahmad dari Abu Bakrah).


Apakah jawatan Menteri Besar setaraf dengan wizarah tafwidh atau wizarah tanfiz ? Dalam merealisasikan Rahmat Untuk Semua,  PAS mahu menyelamatkan rakyat dan wanita Islam agar jangan melupai  dan menceroboh ajaran Nabi untuk  kebahagiaan akhirat kerana kepentingan jawatan dan politik semata-mata di dunia.


Sahabatuku Pemimpin dan Ahli-Ahli PAS,


Kita tidak boleh melupai pengajaran para ulama. Imam Muslim telah menyebut satu tajuk dalam kitab Imarah/Kepimpinan iaitu bab wajib memenuhi baih/taat setia pada khalifah yang pertama dan seterusnya. Imam Muslim meriwayat beberapa hadis yang sepatutnya menjadi panduan dalam isu pertukaran Menteri Besar. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda :

"Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi mereka. Setiap kali seorang Nabi wafat digantikan oleh Nabi berikutnya. Dan sesungguhnya tidak ada nabi lagi sesudahku, tetapi akan ada para pemimpin (yang beragama Islam), mereka banyak (jumlahnya). Para sahabat bertanya: Apa yang engkau perintahkan kepada kami (apabila itu terjadi)? Nabi bersabda: Patuhilah pemilihan (pemimpin yang beragama Islam) yang pertama, berikanlah oleh kamu hak mereka kepada mereka, kerana Allah akan menanyakan kepada mereka apa yang menjadi tanggungjawab mereka". (H/R Bukhari 5/401. Muslim 3/1471. Ibn Majah 2/958. Ahmad 2/297)


Kenapa Rasulullah membimbing kita dalam melantik  pemimpin untuk mentadbir dan mengurus rakyat dengan panduan ini ? Kenapa pemimpin tidak boleh dilucutkan jawatannya dengan sewenang-wenangnya, setelah berbaih untuk negeri dan rakyat ? Jawatan Menteri Besar bukan milik kekal tapi pertukarannya mesti dibuat berasaskan undang-undang dan panduan Islam. Jawatan Menteri Besar tidak layak untuk seseorang yang jahat, zalim dan salahlaku tapi kejahatan, penyelewengan dan salahlakunya mesti dibukti dan disabitkan kesalahannya.

Kita dulu pernah membela Dato Seri Anwar Ibrahim yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan alasan yang tidak dibuktikan dan dizalimi tanpa perbicaraan yang adil. PAS boleh membiarkan DS Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjara oleh pemimpin BN yang lebih mengenali DS Anwar Ibrahim dan melibatkan isu dalaman BN tapi PAS (ketika itu) percaya segala alasan itu bohong dan pemecatan itu zalim dengan sebab tiada pembuktian yang kukuh dan adil. PAS terus membela dan mengajak rakyat membela Timbalan Perdana Menteri yang dizalimi dan ditukar tanpa sebab-sebab yang munasabah.


Sewajarnya, kita jangan menzalimi Tan Sri Khalid Ibrahim dengan memecat jawatannya melainkan dengan pembuktian yang kukuh dan adil. Kita tidak boleh berkompromi dengan kezaliman sebagaimana kita juga tidak boleh mempertahankan salahlaku dan penyelewengan yang terbukti dan sabit yang dilakukan oleh seseorang pemimpin.


Sahabatku Pemimpin dan Ahli-Ahli PAS,


PAS tidak boleh memisahkan

perjuangan dan pergerakkannya daripada sifat WALA’. Firman Allah dalam surah al-Maidah :

¨Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang.¨(Surah al-Maidah ayat 55 dan 56)


Sesiapa yang wala’ kepada Allah, rasul dan orang-orang beriman, maka jemaah mereka akan akan mengalahkan musuh Islam. Kerana dalam hizbullah, ketiga-tiga wala’ ini adalah teras kepada kemenangan dan Allah membantu hizbullah kerana wala’ ini dan jika tiada wala’, maka jemaah itu bukanlah jemaah Islam. Syarat wala’ mestilah benar iaitu beraqidahkan dengan syariat Allah dan bukannya kepada ideologi-ideologi yang menyesatkan seperti sosialisme (PSM/PKR), komunisme (DAP) dan sebagainya.


Dalam kita berjemaah, kita mesti ada pemimpin, pengikut dan manhaj kita. Jangankan dalam organisasi yang besar, bahkan ketika kita bermusafir tiga orang atau lebih, kita mesti melantik pemimpin salah seorang daripada tiga orang itu. Begitu juga contoh ketika solat. Setiap pergerakan imam, kita mesti mengikutinya satu persatu. Pengikut dibenarkan memberi pendapat mereka tetapi mesti patuh dengan pimpinan jika pendapatnya ditolak dan keputusan pimpinan itu tidak bercanggah dengan hukum qate’I, sehinggakan jika sekiranya ada khilaf sekalipun, kita masih perlu mengikut pimpinan kerana ijtihadnya walaupun salah, akan mendapat satu pahala.


Tidak timbul persoalan yang mengatakan wala’ itu seperti memaksumkan pemimpin, malah wala’ itu sebenarnya datang dari orang yang maksum iaitulah rasulullah saw. Bagindalah yang menyuruh pengikut sesebuah jemaah Islam mentaati ketua, walaupun pemimpin itu hanyalah seorang hamba abdi. Taatilah dia dalam perkara ma’ruf, samada kamu suka ataupun benci. Contoh yang baik berkaitan wala’ ini jelas ditunjukkan oleh dua tokoh besar Islam iaitu Saidina Abu Bakar dan juga Saidina Umar apabila dalam satu peperangan yang diketuai oleh Amru bin al-Ash, Amru melarang tenteranya menyalakan api ketika dalam kesejukan malam. Tetapi kedua mereka menurut arahan itu, dan hanya mengadu ketika bertemu Rasulullah. Apabila ditanya oleh Rasulullah kepada Amru tentang hal itu, maka dia menjawab, itu adalah strategi peperangan bagi mengelak musuh dapat melihat mereka kerana cahaya api itu. Atau kita ingin mengikuti jejak langkah Bani Israel yang menolak Talut sebagai pemimpin yang Allah telah pilih untuk mereka semata-mata kerana dia miskin?


Sahabatku Pemimpin dan Ahli-Ahli PAS,


Adakah masuk akal jika ada perkataan yang dikeluarkan oleh ahli iaitu dia hanya mahu memberikan ketaatan lebih kepada parti berbanding kepada Presiden sedangkan Presiden tidak melakukan dosa yang qate’i? Apakah maknanya jemaah jika Presiden tidak mahu dihormati dan ditaati? Bukankah jemaah dibentuk dengan adanya pemimpin dan pengikut? Terkadang ada rahsia yang tidak boleh diketahui oleh orang lain, hanya pemimpin sahaja yang mengetahuinya. Jika kita sebagai pengikut tidak menghormati ketuanya sendiri, adakah kita mengharapkan ahli jemaah lain menghormatinya? Jangan kita salah membezakan antara kewajipan dan keharusan. Ketahuilah, tahaluf itu tidak wajib dan bukan wala’. Ianya adalah alat. Jika ia menguntungkan PAS, kita teruskan. Jika ia merugikan PAS lebih elok ditinggalkan.


Dalam jemaah juga, kita wajib menjaga rahsia. Kisah Hatib Ibnu Balta’ah yang membocorkan rahsia tentera Islam yang mahu menyerang Mekah setelah musyrikin Mekah mengkhianati perjanjian dengan orang Islam dan dia hampir dipancung oleh Saidina Umar, sepatutnya menjadi pengajaran yang cukup berguna kepada kita kerana Hatib diselamatkan hanya kerana dia seorang yang berjuang dalam Perang Badar. Jika tidak, pastinya dia dihukum sebagai pengkhianat. Begitu juga jika ahli jemaah berkhianat membocorkan rahsia jemaah kepada pihak yang tidak sepatutnya, maka dia wajar dibuang dari jemaah. Kita mengambil contoh dari sirah nabawi kerana golongan sahabat adalah generasi terbaik yang telah disahkan oleh Allah melalui firmanNya dalam al-Quran. Sahabatlah sumber terbaik dalam kita mencari contoh bagi menjadikan kita sebagai pengikut yang taat disamping mengangkat pemimpin yang baik dan seterusnya menjulang jemaah kita sebagai yang terbaik di sisi Allah.





YB Ustaz Mohd Nor Hamzah

Ketua Penerangan BPPNT/Adun Bukit Payong

15 Syawal 1435 bersamaan 11 Ogos 2014


TAG