Tiga tahun di kurung dalam tandas




Seorang wanita warga India berumur 25 tahun dikurung dalam tandas selama tiga tahun dan dihalang bertemu anaknya, semata-mata kerana dia melahirkan seorang anak perempuan.


Portal berita International Business Times melaporkan wanita yang namanya tidak didedahkan itu ditemui berpakaian koyak dan berkuku panjang, selain tidak boleh membuka matanya akibat silauan matahari.


International Business Times melaporkan wanita tersebut diselamatkan selepas polis memecah masuk tandas yang diubah suai itu di Darbhanga, timur Patna selepas bapanya membuat laporan polis.


Wanita itu didera sejak berkahwin pada 2010 selepas didakwa gagal membawa wang dan barangan hantaran yang mencukupi.


Apabila dia melahirkan anak, wanita itu telah dikurung oleh suaminya, Prabhat Kumar Singh.


Ketua Polis Darbhanga, Seema Kumari berkata, wanita itu tidak boleh membuka matanya akibat silauan matahari kerana dia dikurung dalam bilik yang sempit dan gelap selama tempoh yang lama.


"Mangsa juga tidak dibenarkan berjumpa dengan ibu bapa apabila mereka datang melawatnya," katanya.


Prabhat dan ibu bapanya, Dhirendra Singh dan Indra Devi kini ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kes itu.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140912/lu_07/Wanita-dikurung-dalam-tandas-selama-3-tahun#ixzz3DAGt3Jwh
© Utusan Melayu (M) Bhd 
TAG