Wan Azizah enggan dedah kandungan surat kedua



Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail enggan mendedahkan kandungan surat kedua yang dihantar parti itu kepada Istana Selangor pada Selasa lepas.

 

Beliau juga enggan menyebut sama ada nama calon lain disertakan dalam surat itu bagi jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu.

 

"Kita tunggu dahulu, hari ini separuh hari kan. Kita tunggu respons Istana.

   

"Hari ini saya jumpa (ahli PKR Kuala Selangor) selepas pemilihan parti bersama-sama (Adun Ijok) Dr Idris Ahmad, (bekas Exco kerajaan Selangor) Elizabeth Wong, (Ahli Parlimen Subang) R. Sivarasa dan Ahli Parlimen Ampang (Zuraida Kamaruddin)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri penyampaian sijil program bacaan Bahasa Inggeris dan penyerahan wang bantuan program Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), di sini.



Selasa lepas, PKR dan DAP masing-masing menyerahkan sepucuk surat kepada Istana Selangor susulan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap tindakan kedua-dua parti itu yang hanya mengemukakan satu nama iaitu Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar  baharu.

 

Selain menghantar surat kedua itu, pada hari yang sama PKR dan DAP mengeluarkan kenyataan memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor.

 

Walaupun memohon ampun kepada Sultan Selangor, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap mempertahankan tindakan kedua-dua parti itu berhubung calon mereka bagi jawatan Menteri Besar Selangor. - Bernama
TAG