2 Sudah Selesai .... Ada Lagi 36 Yang Masih & Kearah itu...

8 (2)
Kerajaan negeri berjaya menyelesaikan dua daripada 38 agenda dan projek pembangunan menerusi  Transformasi Terengganu Baharu (TTB), selepas pendekatan baharu itu  diperkenalkan sejak 19 Ogos lalu.

Menteri Besar , Dato’  Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Petunjuk Prestasi Utama (KPI) beliau sebagai pemimpin utama negeri adalah merealisasikan 38 perkara yang digariskan itu sebelum menjelangnya 2015.
Antara inisiatif berkenaan termasuk, menjalankan kerja membaiki Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pembangunan Pasar Besar Kedai Payang; penambaikan dan kebersihan Pusat Rekreasi Batuk Buruk; kebersihan tandas masjid terutama di sepanjang jalan utama; pembangunan pondok moden; garis panduan hiburan;  membasmi gejala mat rempit dan pembinaan rumah PPRT .
“KPI saya adalah sebelum 31 Disember ini, bermakna 1 Januari 2015 akan berjalan semua perkara (projek pembangunan) yang disebutkan sebelum ini. Siap atau tidak itu bergantung kepada keadaanlah, tetapi saya beritahu semua perkara itu akan dilaksanakan pada tempoh ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan E-Aduan dan penyerahan Surat Setuju Terima Tender (LA) kepada kontraktor pembaikian Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin , Gong Badak, di Paya Keladi, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Osman Muda; Pengarah JKR negeri, Dato’ Shafii Mohamad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Samiun Salleh.
Dua inisiatif yang diselesaikan masa kini iaitu  mewujudkan kaunter e-Aduan dan penyerahan LA bagi menyelesaikan segera kerja membaiki stadium berkenaan.
Tambah beliau,  kewujudan kaunter e-Aduan yang bakal dilancarkan secara rasminya pada November ini, menterjemahkan TTB yang merangkumi pendekatan inklusif `suara rakyat adalah keramat’ apabila menjadi medium penyampaian sebarang  aduan dan pandangan daripada rakyat untuk tindakan segera oleh  pihak kerajaan.
“Bagi mempertingkatkan penyampaian kerajaan negeri, kita juga memperkenalkan kaunter 1Transformasi yang turut menyediakan borang-borang bantuan dan tabung-tabung dari  pelbagai agensi kerajaan selain informasi mengenai Terengganu dan juga sektor pelancongan negeri.
“Kaunter ini bukan sahaja menerima aduan tetapi menyelesaikan beberapa perkara mengenai masalah rakyat dan dapat menyampaikan informasi,” katanya.
Selain itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk mewujudkan Pusat Panggilan 1Terengganu (1TECC) sebagai pusat komunikasi untuk memudahkan rakyat berhubung dengan agensi kerajaan negeri yang berteraskan merakyatkan sektor perkhidmatan awam menerusi satu talian.
“Pengadu akan disambungkan kepada satu operator di 1TECC, sebagai contoh mengenai sampah, jadi talian itu akan disambungkan kepada pihak berkuasa berkaitan dan kemudahan itu akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Ini akan memberi kemudahan kepada rakyat untuk mendapat tindak balas kepada setiap aduan permasalahan mereka,” katanya. teganukita.my
TAG