Bajet 2015 Petang INI...

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 4 petang ini yang juga merupakan bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).
Najib yang juga Menteri Kewangan semalam dilaporkan berkata  bahawa Bajet 2015 merupakan belanjawan ‘pro-rakyat’ dan meliputi langkah-langkah mengurangkan beban kos hidup.
Antara lain, Bajet 2015 akan membantu meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan dan mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik, katanya dalam satu kenyataan semalam.
Perdana Menteri juga menggariskan mengenai pentingnya program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“BR1M akan diteruskan memandangkan ia merupakan sebahagian daripada manifesto. Ia merupakan sebahagian daripada rasionalisasi subsidi.
“Dengan mengalihkan subsidi menyeluruh kepada sokongan lebih bersasar, kami akan memperoleh nilai wang yang lebih baik,” katanya.
Najib juga menegaskan mengenai pentingnya meneruskan langkah-langkah mengurangkan defisit kerajaan bagi memastikan bajet seimbang dicapai pada 2020.
Beliau menambah bahawa kerajaan kini dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi sasaran defisit fiskal, yang meliputi pengurangan defisit kepada 3.5 peratus menjelang akhir tahun dan tiga peratus pada akhir 2015.
Untuk maklumat lanjut, layari bajet2015@treasury.gov.my atau www.treasury.gov.my bagi menonton ucapan secara langsung pembentangan bajet, untuk memuat turun ucapan bajet yang sudah dibentangkan, Laporan Ekonomi dan dokumen penting yang lain.
TAG