BAJET 2015 : RAZIF Mahu Dengar SUARA Rakyat

PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Bajet Negeri Terengganu 2015 yang akan dibentangkan pada Disember ini bakal memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata bajet negeri itu akan dibuat berdasarkan kepada pembentangan Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal bulan ini.

"Bagi mencapai kesinambungan di atas apa yang telah dibentangkan (oleh perdana menteri), bajet negeri juga seharusnya dibuat berdasarkan kepada apa yang diperlukan oleh rakyat.

"Di bawah Transformasi Terengganu Baharu juga, kita bakal meneliti projek-projek di mana hanya (projek) yang memberi manfaat kepada rakyat sahaja akan dijalankan," katanya di dalam satu sidang media.

Ahmad Razif berkata sedemikian selepas merasmikan Majlis Makan Malam "Halatuju Bajet Terengganu 2015" di sini hari ini.



Sementara itu, beliau berkata dalam merangka bajet negeri yang akan dibentangkan, kerajaan negeri turut mengalu-alukan rakyat Terengganu untuk melontarkan idea ke laman sesawang negeri yang disediakan bermula 1 November ini sehingga 7 November.

Beliau turut berkata kerajaan negeri amat menitik beratkan pandangan rakyat dalam memastikan agenda transformasi kerajaan akan berjalan dengan lancar.

"Ini yang dinamakan sebagai inklusif di mana kita membuat sesuatu pembangunan di dalam negeri berdasarkan kepada keperluan dan kehendak rakyat.

"Kerajaan negeri mahu setiap agenda transformasi pembangunan negeri diambil cakna oleh segenap lapisan masyarakat dan setiap orang boleh terlibat dalam memastikan negeri Terengganu mencapai tahap negeri maju pada 2020," katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh melayari laman sesawang www.terengganu.gov untuk memberi cadangan kepada kerajaan negeri dalam pembentangan Bajet 2015.

-- BERNAMA

TAG