FELDA Mara Dengan Bergaya - Agregat 7-3

KUALA LUMPUR: Tiada lagi kelibat finalis tahun lalu, Kelantan dalam kempen Piala Malaysia musim ini selepas tumbang 3-0 kepada Kedah pada aksi timbal balik kedua suku akhir Piala Malaysia, malam tadi.
Hadir ke Stadium Darul Aman, Kedah dengan kelebihan agregat hasil kemenangan 3-1 pada perlawanan pertama di Kota Bharu jelas tidak mencukupi buat Kelantan apabila tuan rumah tampil dengan aksi berbeza.
Sekalipun perlawanan tertangguh hampir 10 minit akibat 'black out', lebih 25 ribu penonton majoriti penyokong Kedah yang memenuhi stadium akhirnya pulang dengan senyuman.
Penyokong Kedah begitupun seakan resah apabila tiada jaringan berjaya dihasilkan ketika perlawanan babak pertama hampir berakhir sebelum Muhd Hanif Mat Dzahir memecah tirai jaringan dengan gol pembukaan tiga minit sebelum babak pertama tamat. 

PENYERANG Selangor Paulo Rangel (kiri) diasak pemain FELDA United pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Temerloh. Selangor tersingkir pada kempen kali ini hasil keputusan agregat 7-3. - Foto Bernama

Hasil satu serangan balas, kegagalan pertahanan Kelantan Brendan Gan untuk mengeluarkan bola dari kawasan selamat berjaya dirampas Hanif yang melepaskan rembatan mengatasi penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Memasuki babak kedua, Khairul Fahmi terus dikecewakan kali ini menerusi kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.
Kelantan yang terdesak terus dihimpit apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Fakri Saarani dilayangkan kad merah kerana mengasari Farhan Roslan pada minit ke-71.
Dan kelebihan itu dimanfaat sepenuhnya Muhd Syafiq Ahmad yang meledak gol ketiga Kedah pada minit ke-88.
"Ini kemenangan yang cukup bermakna. Saya tidak jangkakan. Tahniah kepada pemain kerana menampilkan aksi 100 peratus malam ini," kata jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe.
Di Stadium Temerloh Pahang, FELDA United yang memiliki kelebihan besar agregat 4-0 hasil kemenangan pada perlawanan pertama sedikit resah apabila Selangor menampilkan permainan berbeza.
Begitupun, harapan kebangkitan yang dijelmakan oleh Selangor hanya sementara apabila jentera pertahanan terus menampil aksi longlai untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 3-3.

KAPTEN Kedah, Mohd Khyril Muhymeen Zambri berebut bola dengan pemain Kelantan, Mohd Izuan Rosli pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid
Terdesak memburu jaringan, Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi penyerang sensasi, Paulo Rangel pada babak pertama sebelum pesta jaringan dimulakan pada babak kedua.
Bagi FELDA, kejayaan mara ke separuh akhir boleh dianggap sejarah apabila buat pertama kalinya pasukan yang berstatus kelab itu mara ke peringkat empat terakhir kejohanan elit itu.
 Keputusan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia, malam ini:
 - FELDA United 3 Selangor 3
Gol - Fel - Edward Junior Wilson (m48, 69) Indra Putra Mahayuddin (m85), Sel - Paulo Rangel (m30, 62) Andik Vermansah (m52)
Agregat 7-3
 - Kedah 3 Kelantan 0
Gol: Muhd Hanif Mat Dzahir (m42) Baddrol Bakhtiar (m51) Muhd Syafiq Ahmad (m88)
Agregat 4-3

FELDA United dan Kedah mara ke separuh akhir.

TAG