Malang Tidak Pernah BERBAU..

PADA Sabtu lalu, dua bintang cantik, Jennifer Lopez dan rakannya, Leah Remini, dikhabarkan telah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Menurut laporan portal antarabangsa, kejadian ini berlaku apabila kenderaan yang dinaiki bintang itu dilanggar teruk oleh pemandu yang mabuk di Malibu, California.

Dalam insiden berkenaan, dikhabarkan bahawa kenderaan dipandu Remini dilanggar secara tiba-tiba tanpa sempat mengelak.

Bahkan, Lopez turut memuat naik status kemalangan yang dialaminya menerusi laman sosial, Instagramnya. Dalam tulisannya, Lopez memberitahu walaupun masih trauma, namun semuanya selamat dan Remini kelihatan tenang.

Pun begitu, Lopez menasihati pemandu lain agar tidak memandu kenderaan ketika dalam keadaan mabuk sehingga membahayakan nyawa orang lain.

Kemalangan itu bukan hanya melibatkan mereka berdua kerana Lopez membawa dua anak kembarnya, Maximilian David dan Emme Maribel, 6, serta anak perempuan Remini.

Namun, Lopez memberitahu bahawa kemalangan itu tidak memberi apa-apa kecederaan teruk buat mereka semua malah, pemandu tersebut juga turut ditangkap pihak polis atas tuduhan langgar lari.

Sering bersama

Ikatan persahabatan yang terjalin antara Lopez dan Remini bukanlah setahun dua, malah mereka sudah lama bergelar kawan baik. Hampir setiap hari, mereka akan berjumpa dan menghabiskan masa bersama sekiranya berkesempatan.

Meneliti Instagram milik bintang terkenal itu, mereka telah berjumpa dua hari sebelum kemalangan. Turut meluangkan masa bersama di Restoran Ago di West Hollywood, California, mereka menikmati makan malam istimewa di restoran Itali itu.

Sebelum ini, Lopez memberitahu bahawa masa lapangnya akan diisi dengan aktiviti bersama anak-anak mahupun Remini yang dianggap seperti saudaranya sendiri.

"Kami sering bersama malah kedua-duanya sudah tahu jadual masing-masing.
Malah dia (Remini), merupakan individu yang kerap dijumpai ketika ada kelapangan," katanya lagi.
TAG