Pastikan pelajar tidak terpengaruh seruan 'jihad' di Syria - Jakim

KUALA TERENGGANU - Ibu bapa dan pengetua sekolah agama perlu memantau perkembangan pelajar bagi memastikan golongan itu tidak mudah terpengaruh dengan seruan 'jihad' di Syria dan beberapa negara Islam lain yang sedang bergolak.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, kebiasaannya golongan sasaran ini dipujuk dan direkrut berasaskan ayat-ayat suci al-Quran untuk berjihad melalui media sosial seperti Facebook (FB) dan blog.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa jangan biar anak-anak leka dengan media baharu, pemantauan awal dapat mengekang mereka daripada terjebak dan dipergunakan.
"Hujah-hujah yang diterima melalui FB, laman web dan lain-lain itu mungkin di luar bidang yang diajar di sekolah, sekali gus mampu memujuk pelajar kononnya untuk berjihad pada jalan Allah," katanya.
Othman bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Multaqa Pengetua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) peringkat kebangsaan 2014 di sini. - Bernama


TAG