Calon Presiden KOM : Wan Hisham MengambiL Pendekatan Tunggu dan Lihat

WALAUPUN mendapat sokongan penuh daripada Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Zainal Abidin Ahmad, namun Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang merupakan Timbalan Presiden KOM tetap mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk bertanding jawatan No. 1 badan induk itu pada 1 November depan.
Jelas Wan Hisham, beliau perlu menunggu sehingga majlis pembukaan kertas pencalonan pada 20 Oktober ini sebelum membuat keputusan untuk bertanding pada pemilihan pucuk pimpinan KOM penggal 2014/2016 sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan olahraga itu bulan depan.
“Saya mengucapkan terima kasih atas keyakikan Presiden tetapi saya perlu melihat pula bagaimana sokongan daripada setiap negeri kerana Presiden telah membuat satu landasan yang bagus untuk terus bergerak kehadapan. Apa yang penting sekarang ialah perpaduan dalam KOM.
“Jadi untuk memikul tanggungjawab dan harapan yang diberikan oleh kerajaan terutama di dalam Bajet 2015. Ia bukan satu perkara mudah.
“Tidak kisah siapa yang menjadi Presiden beliau perlu mendapat sokongan daripada seluruh persatuan-persatuan negeri barulah kami akan berjaya. Jadi saya mahu lihat dahulu pencalonan sebelum membuat apa-apa keputusan,” kata Wan Hisham selepas Mesyuarat Ahli Majlis KOM di Bukit Jalil semalam.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) juga tidak menafikan bahawa mungkin akan ada individu lain yang turut dicalonkan untuk bertanding jawatan tertinggi badan induk sukan olahraga tersebut.
Wan Hisham turut mengakui, beliau juga ada mendengar desas-desus bahawa bekas Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Timbalan Presiden badan induk itu, Datuk Karim Ibrahim mungkin akan dicalonkan untuk bertanding pada AGM KOM ke-11 itu.
“Saya tidak tahu sama ada betul atau tidak tetapi saya ada dengar daripada orang lain. Jadi tidak mustahil mereka akan bertanding pada AGM kali ini.
“Hendak kata AGM pada kali ini kembali hangat pun payah kerana kami mungkin bertolak ansur sebab bagi saya perpaduan sangat penting dalam persatuan. Apa-apa pun tunggu 20 Oktober ini,” ujar Wan Hisham.
Mengulas hasrat Zainal yang tidak mempertahankan jawatan Presiden KOM, Wan Hisham berkata, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS) itu.
“Saya faham dengan keputusan yang dia buat kerana faktor kesihatan. Tetapi saya rasa apa yang dia buat dalam tempoh dua tahun itu telah meletakkan KOM pada landasan yang baik untuk mara ke hadapan,” tambahnya.
Pada AGM KOM penggal 2014/2014, Wan Hisham dilantik sebagai Timbalan Presiden selepas meraih 25 undi menewaskan penyandang jawatan No. 2 KOM ketika itu, Karim yang sekadar mendapat 19 undi. Jawatan yang akan dipertandingkan pada AGM KOM kali ini ialah Presiden, Timbalan Presiden dan empat kerusi Naib Presiden. TerengganuTimes.con


TAG