TERBUKA MBPJ : Khas Buat Peminat Sepak Takraw


GANJARAN hampir RM10,000 bakal menggamit regu handalan dari seluruh negara pada Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ke-22, 2014 bagi merebut Piala Datuk Bandar dari 18 hingga 19 Oktober ini.

Setiausaha Kejohanan, Zey Iskandar Mohd Jalil berkata, selain juara yang bakal membawa pulang RM4,000, hadiah iringan dan sijil, naib juara RM2,000 dan RM1,000 bagi pemenang ketiga bersama. Penganjur MBPJ turut menyediakan hadiah pemain terbaik bagi posisi tekong, apit kanan dan apit kiri (masing-masing RM200).

"Selain penyertaan dari pemain negeri dan kelab, kami juga menantikan aksi pemain kebangsaan yang beraksi dalam Sukan Asia pada kejohanan kali ini.

"Tujuan kita untuk mengumpulkan kembali semua pemain di Malaysia di samping bekerjasama untuk mengembalikan imej sepak takraw negara," katanya semalam.

Menurut Zey Iskandar, setiap regu (tiga pemain, seorang simpanan, seorang pengurus dan jurulatih) yang ingin menyertainya akan dikenakan yuran sebanyak RM250 dan jumlah penyertaan dihadkan kepada 24 regu sahaja.
Persatuan, kelab sepak takraw dan mana-mana pihak yang berminat menyertainya boleh menghubungi Zey Iskandar di talian 012-3661062 atau 03-79563544 sambungan 126 untuk keterangan lanjut.
TAG