Timbalan Speaker DUN Selangor : Jika PAS Tolak, PR Ada Calon Lain – Hannah Yeoh

Timbalan speakar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang baharu akan dilantik pada persidangan dewan undangan negeri akan datang 24 November tahun ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh.
Hannah Yeoh dilaprkan The Malaysian Insider semalam proses pemilihan Timbalan Speaker akan dibuat secara terbuka.

Proses pencalonan bermula apabila kesemua 11 anggota dewan undangan negeri (ADUN) menerima surat meminta mereka mencalonkan timbalan speaker baharu, katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Bangunan Parlimen semalam.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada 26 September telah mengumumkan jawatan timbalan speaker itu akan diisi ADUN PAS setelah timbalan speaker sebelum ini ,Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai anggota exco.

Respon terhadap tawaran Azmin itu, pada 27 September, Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata partinya belum membuat keputusan untuk menerima jawatan tersebut.

Dua hari selepas itu, Iskandar menyatakan pendirian yang lebih jelas berhubung perkara tersebut.

Iskandar berkata, jika PAS menolak kerusi Timbalan Speaker Selangor, ia adalah kerana tidak mahu ADUN PAS yang tidak dilantik sebagai exco, disibukkan dengan tugas itu sehingga menjejaskan tugas asasi mereka.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini, PAS Selangor belum lagi membuat apa-apa keputusan berhubung tawaran itu dan akan memuktamadkan perkara tersebut sebelum Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada November akan datang.

“Satu keputusan akan dibuat sebelum sidang DNS bermula.

“Jika PAS menolak adalah kerana PAS mahukan kesemua Adun PAS yang tidak dilantik menjadi Exco dapat berperanan sepenuhnya sebagai Adun di dalam DNS dan tidak disibukkan dengan tugas sebagai Timbalan Speaker,” katanya dilapor Harakahdaily.

Organ PAS itu turut melaporkan pertemuan exco dan bekas exco PAS dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak membuat keputusan berhubung perkara itu.

PAS akan diberi jawatan Timbalan Speaker sebagai ganti pengurangan satu exco PAS dan penambahan satu exco PKR berbanding sebelumnya, di mana Azmin membariskan pasukan exconya mengikut komposisi 4 PKR, 3 DAP dan 3 PAS.

Dua exco dari PAS yang dikekalkan adalah Iskandar Abdul Samad (Chempaka) dan Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), manakala seorang lagi muka baru adalah Adun Taman Templer Zaidy Abdul Talib.

Manakala, dua exco PAS sebelum ini pula iaitu Dr Halimah Ali (Selat Klang) dan Sallehen Mukhyi (Sabak) bagaimanapun tidak dikekalkan dalam kabinet baru Azmin.

Pada 7 Oktober lalu, Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh dilaporkan Sinar Harian berkata jika PAS menolak, Pakatan rakyat mempunyai calon lain untuk dilantik mengisi jawatan tersebut.

“Selalunya PR akan mempunyai calon tersendiri, calon itu akan dicalonkan dan pelantikan akan dijalankan dalam dewan,” katanya.
TAG