Artivis Pondan Bersuara?

Aktivis "Pondan" dakwa ditindas.

Kuala Lumpur – Golongan transgender secara umumnya sudah lama diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat, kata aktivis Nisha Ayub, namun pendakwaan terhadap kumpulan itu meningkat sejak 1982 sebaik saja negeri melaksanakan undang-undang Syariah ke atas mereka yang berpakaian songsang.

Nisha yang juga seorang transgender berkata, keadaan bertambah buruk selepas pihak berkuasa agama lebih giat melaksanakan peruntukan Syariah dalam menghalang lelaki berpakaian wanita.

“Contoh kes adalah di Pahang, di mana undang-undang Syariah sama hanya mula digunakan sejak setahun dua ini,” katanya.

Nisha, merupakan ahli pertubuhan pejuang hak transgender yang dikenali Justice for Sisters, berkata terdapat Persatuan “Mak Nyah” ditubuhkan pada 1987 yang mana mereka menerima geran kecil daripada Jabatan Kebajikan Sosial, tetapi hanya bertahan 3 tahun sebelum ditutup kerana menerima tentangan daripada pihak berkuasa agama.

“Ketika itu, tiada sesiapa kena tangkap, selain itu terdapat juga doktor di Kuala Lumpur yang memberi khidmat pembedahan menukar jantina.

“Ia lebih buruk sekarang. Sekarang kami ditangkap hanya kerana menghadiri kenduri kahwin dan menari di sana, kami dipenjara dan kerana undang-undang itu sendiri mereka menghalang daripada kami hidup seperti biasa,” katanya.

Nisha, 35, berkata secara umumnya masyarakat tidak mempunyai masalah dengan transgender dan menerima mereka – mengupah mereka sebagai mak andam atau untuk khidmat perkahwinan, tetapi pihak berkuasa yang menghalang mereka.

“Kes di Bahau adalah contoh. Ia sebuah kawasan pedalaman tetapi masyarakat di sana menjemput transgender untuk menari ‘joget’, malah perancang perkahwinan itu juga transgender,” katanya.

Nisha menyifatkan setengah pihak tersilap dengan melihat transgender hanya bekerja dalam industri kecantikan atau seks.

Bukan semua mereka sama, malah tidak semua juga bekerja sebagai perancang perkahwinan atau mak andam seperti yang dikatakan.

Sebaliknya, ramai transgender yang bekerja sebagai profesional, termasuk sebagai peguam.

“Mereka tidak boleh terbuka kerana ia akan menganggu periuk nasi mereka, tetapi ramai yang bekerja dengan syarikat antarabangsa, setengahnya penulis dan artis.

“Terlalu banyak stereotaip terhadap kami… di mana dikatakan kami ini hanya mak andam atau memakai pakaian cantik supaya dapat bekerja dalam bidang kecantikan. Tetapi itu bukan yang sebenar.

“Kami seperti orang lain juga. Kami mempunyai impian dan harapan, sama seperti orang lain juga,” katanya.

TAG