Kami Tidak Mencabar ISLAM Tetapi Mununtut Hak KAMI

SHAH ALAM:  Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan tiga wanita transgender untuk mengenepikan enakmen agama Islam Negeri Sembilan, baru-baru ini, bukanlah sebagai pendorong untuk golongan mak nyah mencabar enakmen sama di negeri-negeri lain. 

 

Seorang wanita transgender, Sharan Manthira Naidu yang juga ahli Justice For Sisters, sebuah kumpulan yang berkempen untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai isu-isu terhadap komuniti mak nyah di negara ini berkata, sebaliknya mereka hanya mahu menegakkan keadilan untuk komuniti berkenaan yang setelah sekian lama 'tertindas'.

 

"Kita tak cabar siapa-siapa. Tak cabar agama, ahli politik dan siapa-siapa. Satu-satunya perkara yang kita rasa tidak adil adalah undang-undang yang mendiskriminasi golongan masyarakat di Malaysia. 

 

"Undang-undang seperti di Seremban itu, mana-mana lelaki yang berpakaian wanita di tempat awam adalah salah. Otak saya perempuan, identiti perempuan.. dan inilah yang akan saya pakai. Adakah ini bermaksud setiap kali keluar rumah, saya adalah penjenayah?" ujarnya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.

 

Katanya yang merangkap Pegawai Dasar Advokasi, Jaringan Kesihatan Seksual Lelaki dan Transgender untuk Kepulauan Asia Tenggara (ISEAN), golongan mak nyah, khususnya yang beragama Islam terlalu menderita dan tertindas dengan kewujudan Enakmen Agama Islam Negeri masing-masing yang melarang golongan lelaki berpakaian dan berkelakuan seperti wanita di tempat awam, sedangkan katanya Perlembagaan Malaysia memberikan hak kebebasan bersuara kepada semua masyarakat tanpa mengkategorikannya mengikut jantina.

 

Tegas 'wanita' berusia 27 tahun ini, beliau bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak termasuk badan penguatkuasa agama negeri, namun katanya, definisi jantina itu perlu lebih jelas lagi kerana tidak mahu golongan mak nyah terus tertindas dan tidak dapat menikmati hak yang sepatutnya sebagai rakyat Malaysia.

 

Oleh itu katanya, undang-undang di peringkat negeri perlu diselaraskan dengan Perlembagaan Malaysia bagi mengelakkan kes yang sama berulang kembali. 

 

"Perbezaan utama ialah definisi jantina. Dalam perlembagaan tak sebut jantina, dia cakap semua orang. Tapi syariah ada tulis pasal lelaki dan perempuan. Ia bukan legislatif. Ia wujud untuk orang Islam. Ia tak boleh mengambil alih Perlembagaan," ujarnya lagi.

 

Sambil mempertahankan golongan berkenaan, kata Sharan, jantina seseorang bukanlah ditentukan mengikut kemaluan, sebaliknya melalui struktur otak. Oleh itu katanya, Malaysia memerlukan satu kajian saintifik berhubung golongan ini bagi memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat mengapa golongan sedemikian wujud.

 

"Dalam Malaysia kita perlukan kajian yang sahih, tak nak yang berat sebelah. Kebanyakan kajian universiti am pasal maknyah, selalu ada pendapat sendiri. Kita tak mahu begitu.. kita mahu kajian berdata, yang sah, berdasarkan pengalaman trans sendiri.

 

"Anda tahu Universiti Al Azhar? Ia adalah salah satu universiti yang kredible, daripada universiti itu sendiri, mereka keluarkan fatwa bahawa seseorang yang dilahirkan sebagai mukanatun, dan dilahirkan dengan jasad lelaki tetapi rohnya perempuan, otaknya perempuan, kalau sedar dirinya perempuan sejak kecil, dan membesar dengan identiti perempuan, dia boleh lakukan pembedahan tukar jantina," ujarnya.

 

Katanya lagi, dengan pembuktian saintifik, berkemungkinan persepsi negatif dan diskriminasi terhadap golongan mak nyah akan lenyap.

TAG