Kembalikan Perhimpunan Agung UMNO ke bulan Jun

Pada asalnya Perhimpunan Agung UMNO sering diadakan pada bulan Mei atau Jun setiap tahun kecuali tahun tertentu apabila membabitkan pilihan raya.

Malangnya kini, ia sudah menjadi satu tradisi mengadakan PAU pada hujung tahun sama ada Oktober atau November.
Perubahan masa PAU ini ke hujung tahun sebenarnya sangat tidak strategik dan menimbulkan beberapa masalah kepada ahli.
Dari segi kepentingan strategik, PAU diadakan selepas pembentangan Bajet menyebabkan banyak usul yang dicadangkan tidak dapat disegerakan.
Usul-usul PAU 2014 misalnya hanya dapat dilaksanakan dalam Bajet tahun 2016 yang akan dibentangkan pada hujung tahun hadapan.
Ini bukan sahaja menyebabkan usul PAU hilang aura, malah orang tidak lagi perasan atau peka bahawa apa yang disebutkan dalam Bajet sebahagiannya adalah hasil usul yang dibawa oleh UMNO.
Selain itu, PAU pada bulan Oktober atau November ini merupakan musim banjir, peperiksaan dan cuti sekolah.
Semua ini banyak memerlukan peranan UMNO sebagai parti sahsiah dan ahli UMNO sebagai ibu bapa.
Sudah beberapa tahun ada UMNO negeri tertentu mengambil keputusan menumpukan gerakan membantu mangsa banjir berbanding menghadiri PAU.
Memang wajar keputusan mereka kerana khidmat mereka lebih diperlukan rakyat.
Cuma alangkah baiknya jika mulai tahun hadapan PAU diadakan kembali pada bulan Mei atau Jun.

Selain mengelakkan isu banjir yang selalu melanda pantai timur pada hujung tahun, ia juga memberi peluang ibu bapa yang ada anak mengambil peperiksaan fokus kepada keluarga bukannya parti.
TAG