Loporan Dari Penganjur dalam Masa Minggu - Razif

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri memberi tempoh selama dua minggu kepada penganjur program Maraton Gunung Gajah Terom di Sekayu untuk mengemukakan laporan lengkap, susulan tragedi yang menimpa Ahmad Rafikin Azman.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya ingin melihat permasalahan yang timbul supaya tragedi itu dapat diambil iktibar dan tidak berulang pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, pihaknya ingin mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Perhutanan Terengganu kerana kawasan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa jabatan terbabit.

“Saya difahamkan, trek itu tidak pernah digunakan sebelum ini. Jadi bagaimana dan kenapa boleh diberikan kebenaran menggunakan trek itu. Kalau diberi kebenaran, kenapa tahap sekuriti tidak dipertingkatkan.

“Saya akan melihat balik laporan lengkap ini, sebelum tindakan seterusnya diambil oleh kerajaan negeri. Saya juga sudah maklumkan kepada Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri (Datuk Mohd Jidin Shafee) bagi memastikan satu polisi dibuat ke atas program sebegini.

“Kena ada SOP yang perlu dilaksanakan dan aspek keselamatan perlu diberi perhatian kerana tragedi sebegini akan memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri. Saya minta pihak penganjur memberi laporan secepat mungkin untuk dibawa ke mesyuarat Exco,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani ‘Shareholders Agreement’ di antara TI Overseas Resources Ltd, Global F&B Management Inc dan TI Global Food Management Ltd di Wisma Darul Iman semalam.

Jelas Ahmad Razif, beliau juga sudah meminta Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu untuk mengenal pasti kawasan yang selalu dikunjungi, bagi melihat tahap keselamatan di kawasan tersebut.

Katanya, ia bagi memastikan pembinaan fasiliti yang lengkap dan selamat untuk pelancong dan juga pengunjung di negeri ini.

“Satu lagi yang kita berikan perhatian ialah, jika berlaku masalah di kawasan hulu (air terjun), akan menyebabkan ‘kepala air’. Jadi saya sudah meminta Exco Kerja Raya dan Pengangkutan (Ir Rosli Othman) untuk melihat masalah ini dan mencari satu kaedah untuk menangani dan membendungnya.

“Perkara ini perlu kita lihat dengan serius kerana ia boleh membahayakan pengunjung. Kita nak pastikan kawasan pelancongan dan tumpuan negeri ini selamat kerana konsep pelancongan Terengganu pada tahun depan adalah dengan menawarkan tempat-tempat rekreasi yang selamat untuk keluarga mandi-manda dan sebagainya.

“Kawasan pantai yang selamat juga akan dikenal pasti untuk diberi kebenaran untuk pengunjung mandi, termasuk juga kawasan rekreasi seperti di Sekayu,” katanya.
TAG