MANAF Bakal Menimba Pengalaman BARU Dengan PASUKAN BARU Musim 2015

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sedia melepaskan Abdul Manaf Mamat sekiranya pasukan baharu penyerang skuad Penyu itu sanggup menebus kontraknya yang masih berbaki setahun hingga 2015.

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman mengesahkan pihaknya ada menerima surat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan khidmat penyerang berusia 27 tahun itu beberapa hari lalu.

Menurutnya, PBSNT sudah membalas surat tersebut dengan memaklumkan bahawa pasukan Terengganu masih memerlukan khidmat penyerang skuad kebangsaan itu.

“Kalau ikutkan, kita (Terengganu) memang masih memerlukan khidmat Abdul Manaf, tetapi pada masa sama kita juga memikirkan masalah yang dihadapi pemain ini.

“Bagaimanapun, sekiranya Abdul Manaf atau pasukan yang mahu menggunakan khidmatnya sanggup menyelesaikan baki tunggakan kontrak, kita tidak ada masalah melepaskannya demi kebaikan bersama,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Arpin berkata,  pihaknya kini hanya menunggu keputusan PDRM sama ada mereka sanggup menebus kontrak Abdul Manaf atau sebaliknya.

“Buat masa ini, kita masih belum berpeluang bertemu dengan Abdul Manaf bagi menyelesaikan masalah ini kerana dia (Abdul Manaf) bersama pasukan Harimau Malaya.

“Saya difahamkan Abdul Manaf membuat keputusan mahu berpindah ini kerana isterinya kini berada di Kuala Lumpur,” katanya.BACA SINI
TAG