Nelayan Hilang Ketika Mengail Ikan Kerisi Berhampiran Pulau Rhu

Besut : Seorang nelayan berusia 59 tahun dikhuatiri hilang di perairan Pulau Perhentian, dekat sini, ketika memancing di situ semalam.

Mangsa, Ali Majid dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, dekat sini, dikatakan pergi memancing berseorangan di perairan itu sebelum dipercayai hilang selepas orang awam menemui sebuah bot berwarna merah dan putih yang menggunakan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda di pulau terbabit.

Mangsa keluar mengail ikan kerisi berhampiran Pulau Rhu sebelah pagi jumaat dan berikutan penemuan bot itu, orang awam membuat laporan di Pondok Polis Pulau Perhentian kira-kira jam 1.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khalid Che Lah berkata, sebaik menerima maklumat, pihaknya menghubungi Pasukan Polis Marin yang berpangkalan di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Besut melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, pasukan SAR memulakan gerakan mencari mangsa di perairan pulau berkenaan kira-kira jam 8 pagi tadi dan sehingga jam 5 petang mangsa masih belum ditemui.

TAG