Paolo Rangel, Hassan Chaito sertai Terengganu 2015 - Tiada WaterMark KLLB


Hassan Chaito dan Paolo Rangel jadi pemain import Terengganu musim depan. -Gambar Ganucyber
KUALA TERENGGANU: Bekas penyerang import Selangor, Paulo Rangel dari Brazil dan pemain kebangsaan Lubnan, Hassan Chaito akan memperkuatkan cabaran Terengganu dalam kempen Liga Super 2015.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Deraman berkata Rangel dan Hassan, masing-masing menandatangani kontrak, hari ini untuk beraksi bersama Terengganu selama dua tahun dan setahun.
"Dengan kehadiran Rangel dan Hassan, lengkaplah empat pemain import Terengganu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan," katanya, hari ini.
Sebelum ini, Terengganu sudah mempunyai dua pemain import iaitu pemain pertahanan Vincent Bikana, 22, dari Cameroon dan Gustavo Fabian Lopez, 31, dari Argentina.
Hassan, 25, bekas pemain tengah pasukan Al-Shahab, Lubnan musim 2013-2014 akan menggantikan Mario Karlovic dari Australia yang tidak disambung kontrak.
Gustavo Lopez, Hassan Chaito, Vincent Bikana dan Paolo Rangel jadi sandaran pasukan Peteh 2015. -Gambar Anok Tranung FC
Sementara, Rangel, 29, adalah penjaring terbanyak Liga Super 2014 dengan 16 gol ketika beraksi bersama pasukan Selangor.
Arpin berharap Hassan dan Rangel mampu menyinar dan menjadi tonggak utama pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu.
Katanya bekas pemain pertahanan Selangor PKNS, Helmi Remeli turut menandatangani kontrak untuk beraksi dengan Terengganu musim depan.
Beliau turut mengesahkan kesemua pemain tempatan musim 2014 termasuk Abdul Manaf Mamat kekal bersama pasukan berkenaan tahun depan.
"Malah, kami juga serap empat pemain pasukan Piala Presiden ke pasukan Liga Super Terengganu," katanya. - BERNAMA
TAG