PAS Memang Tidak CEKAP Tadbir Negeri dan PARTI - Harakah Daily

KUALA LUMPUR: PAS menyedari pengurusan organisasi adalah satu tuntutan yang perlu dilaksanakan di semua peringkat kerana PAS memerlukan pentadbiran yang tersusun dan pentadbir yang cekap.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ilmu itu perlu diterapkan misalnya melalui seminar ataupun kursus yang dianjurkan bagi memantapkan pentadbiran organisasi dari semasa ke semasa.

Beliau juga melahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila Manual Pengurusan dan Pentadbiran PAS (MPPP) telah pun terjual sebanyak 3,500 naskah sejak dilancarkan pada 19 September lalu oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa Muktamar PAS ke-60.

"Ia sebagai satu tanda bahawa penggerak PAS telah menyedari bahawa pengurusan organisasi adalah satu tuntutan yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru katanya, mengambil inisiatif ini PAS Pahang telah berjaya mengadakan Seminar Pengurusan PAS peringkat negeri di pejabat Perhubungan PAS Negeri Pahang di Temerloh baru-baru ini.

Seminar yang dihadiri oleh Setiausaha dan Penolong Setiausaha PAS di peringkat negeri dan kawasan telah mendedahkan kepada para peserta berkaitan dengan kandungan MPPP.

Tambahnya, seminar pengurusan ini telah berjaya mencapai sasarannya apabila para peserta telah mendapat penjelasan dengan sebaik mungkin bagaimana untuk menguruskan organisasi berpandukan kepada MPPP.

Sementara itu, PAS Kawasan Teluk Intan turut mengadakan seminar yang sama sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada para pimpinan tertinggi di peringkat dewan-dewan dan  cawangan-cawangan untuk memahami struktur organisasi PAS dan kaedah pengurusan yang sebenar.

"Saya menerima  respons yang positif daripada para peserta terhadap kursus yang telah diadakan dan beliau bercadang untuk meneruskan kursus seumpama itu pada masa hadapan.

“Kerja berkumpulan dan kerja berpasukan adalah satu kaedah yang lebih berkesan untuk memperkemaskan organisasi dengan lebih baik berbanding dengan kerja yang dilakukan secara berseorangan,” katanya.
TAG