PAS Sokong BIBLE Di Pulangkan

Pas menyokong tindakan kerajaan Selangor memulangkan 321 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejak Januari lalu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, tindakan itu bukan sahaja baik bahkan memulihkan kembali imej Islam yang agak terjejas pada pandangan penganut agama Kristian khususnya.

“Pemulangan semua Bible itu kepada pihak Persatuan Bible Malaysia (BSM) menjernihkan kembali imej agama Islam yang dilihat sebelum ini seakan tidak menghormati hak agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Wacana Semasa Cabaran Pas Mendepani Anak Muda, di sini,  kelmarin.

Menurutnya, Pas menghargai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang memainkan peranan utama dalam pemulangan semua kitab Bible itu.

“Pas merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Selangor dan Azmin selaku Menteri Besar Selangor kerana telah membuat keputusan yang bijak terhadap polemik yang berlaku.

Khalid berkata, pihaknya berharap polemik berkaitan kitab Bible itu akan mengukuhkan kembali hubungan baik yang terjalin antara kerajaan negeri dan pihak BSM.

“Itu yang kami harapkan dan bagi kami pemulangan itu juga memperlihatkan bahawa Islam itu mengakui dan mengiktiraf hak agama lain,” katanya.

Pada 15 November lepas, Kerajaan Negeri Selangor memulangkan semua kitab Bible yang dirampas dan disimpan sejak Januari lalu kepada BSM melalui Persatuan Gereja Sarawak (ACS) di Istana Alam Shah, Klang.

Upacara penyerahan dibuat Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa kepada Pengerusi ACS, Datuk Bolly Lapok, disaksikan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Azmin.
TAG