Pelajar UITM Sesat Dalam Hutan

SEREMBAN - Seramai 13 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban 3, yang sesat ketika turun daripada Gunung Datuk di Rembau petang tadi ditemui dalam keadaan lemah pada pukul 10.20 malam ini.

Penuntut yang sesat itu terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita mendaki gunung tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi tadi dan dipercayai tersasar daripada laluan sepatutnya sekitar pukul 11.30 pagi ketika mahu turun dari gunung berkenaan.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ridzuarn Abdul Rahman berkata, kesemua mereka ditemui tanpa sebarang kecederaan tetapi, dalam keadaan lemah.

"Sebelum itu kita melakukan kaedah tiupan wisel pada jarak 1.31 Kilometer dari kaki gunung dan terdapat sahutan daripada kumpulan penuntut itu. Beberapa minit selepas itu kita berjaya menemui mereka," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Tambahnya, lebih 50 orang yang terdiri daripada anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung menyertai operasi mencari dan menyelamat. - KOSMO!



TAG