6,620 Orang Sudah Daftar Ahli UMNO Online - Sejak Dilancarkan

KUALA LUMPUR: Keahlian UMNO bertambah 6,620 orang dalam tempoh enam hari sejak kaedah pendaftaran ahli baharu secara dalam talian (online) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Khamis lalu.

Jurucakap Bahagian Sistem Maklumat parti berkata, pihaknya menerima purata lebih 1,000 borang keahlian baharu yang diisi atas talian setiap hari.

“Buat masa ini pihak kami masih meneliti borang keahlian yang diterima.

“Belum ada pecahan kategori umur dan maklumat penuh mengenainya akan diumumkan kelak,” katanya kepada BH, di sini, semalam.

Dalam ucapannya ketika melancarkan Keahlian Dalam Talian (Online) UMNO, Najib dilapor berkata, pendaftaran keahlian secara dalam talian adalah sebahagian usaha mentransformasikan parti untuk dilihat lebih segar, dinamik, progresif dan terbuka.

Najib berkata, pendekatan itu juga bagi membolehkan UMNO menjadi parti yang terus relevan sepanjang masa dan zaman.

Isi maklumat lengkap

Sementara itu, jurucakap itu turut berkata, bagi setiap pendaftaran baharu, bakal ahli perlu mengisi semua maklumat dengan tepat, terutama nombor kad pengenalan baharu.

“Jika tidak diisi dengan lengkap, borang dalam talian tidak akan dapat diproses dan nombor rujukan bagi setiap borang baharu yang dihantar juga tidak akan kelihatan pada skrin,” katanya.

UMNO kini mempunyai 3,159,484 ahli seluruh negara dengan Sabah mencatat keahlian paling ramai dengan 449,805 orang diikuti Johor seramai 428,663 ahli dan Selangor 414,142 ahli.-berita harian
TAG