Ahli Parlimen PAS KUALA NERUS Sebar Ajaran SESAT???:-)

Final :

KENYATAAN AKHBAR PESURUHJAYA PAS NEGERI SELANGOR SEMPENA SAMBUTAN ULANGTAHUN KE 63 PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS).

Saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana PAS pada tahun ini telah menyambut ulangtahunnya ke 63.

Selama 63 tahun, PAS telah berjaya menerajui perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa PAS ditubuhkan bukan di atas tuntutan politik tetapi sebagai tanggungjawab agama.

Penubuhannya merupakan penerusan usaha-usaha para Rasul dan Nabi.

Walaupun PAS ditubuhkan dalam tahun 1951 tetapi ia adalah kesinambungan perjuangan Islam di Malaysia sejak berabad-abad lamanya.

Seperti gerakan-gerakan Islam lain yang ditubuhkan pada abad ke 20 ia adalah untuk mengisi kekosongan selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah dalam tahun 1925.

Perjalanan PAS sepanjang 63 tahun adalah satu perjalanan yang berliku dan penuh dengan pahit getir.

Pas memiliki pengalaman sebagai pembangkang.

Pas memiliki pengalaman sebagai kerajaan.

Pas memiliki pengalaman bersendirian.

Pas juga memiliki pengalaman di dalam beberapa bentuk persepakatan.

Pas pernah disantuni.

Pas juga pernah dikhianati.

Pengalaman-pengalaman ini telah menjadikan Pas lebih matang.

Kematangan ini penting kerana Pas mesti menjadi seperti Islam yang merupakan rahmat sekelian alam.

Allah SWT berfirman,

“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.”
(Al-Anbiya : 107)

Oleh yang demikian, Pas juga mesti menjadi rahmat utk seluruh rakyat Malaysia.

Hari ini Pas bukan sahaja memperjuangkan nasib dan masa depan masyarakat Islam tetapi juga masyarakat bukan Islam.

Pas bukan sahaja prihatin terhadap kebajikan masyarakat Islam tetapi juga  masyarakat bukan Islam.

Walau bagaimanapun Pas tidak akan sama sekali meninggalkan asas-asas Islam yang diperjuangkan sejak ia ditubuhkan.

Di Selangor Pas adalah sebahagian dari Pakatan Rakyat.

PAS Selangor berjaya berperanan dengan jayanya di dalam dan di luar kerajaan untuk rakyat berbilang kaum dan berbilang agama di negeri ini.

Pas Selangor akan terus komited bersama Pakatan Rakyat di atas dasar hormat menghormati hak dan pandangan setiap parti yang menanggotainya.

Meraikan sebarang perbezaan pandangan dengan setiap parti berupaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Krisis Menteri Besar Selangor telah berlalu dan masanya adalah untuk memandang ke hadapan, bersama-sama memastikan Pakatan Rakyat terus kukuh dan Selangor akan terus dipertahankan.

Walaupun terpaksa menghadapi tekanan dan tohmahan Pas telah memilih untuk kekal di dalam kerajaan ketika krisis tersebut semata-mata untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional tidak dapat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri melalui pintu belakang.

Jika Pas tidak melakukannya maka belum tentu kerajaan di Selangor hari ini adalah Kerajaan Pakatan Rakyat.

Sama ada pengorbanan Pas itu dihargai atau sebaliknya ada tidak penting. Sejarah akan menilai segala tindakan kita. Yang penting Selangor terus diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Walaupun tersentap tetapi Pas tidak berdendam atau menuntut.

Pas berjiwa besar dan memahami keperluan untuk "move forward" perlu diutamakan. Kerajaan negeri di bawah pentadbiran yang baru perlu dimantapkan.

Pada kesempatan ini saya mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli Pas yang terus istiqamah di dalam perjuangan ini.

Sebarang pencapaian Pas adalah bukan semata-mata hasil usaha para pimpinan tetapi juga hasil perit jerih ahli-ahli.

Setiap kejayaan Pas adalah bukan hasil usaha para pimpinan sahaja tetapi hasil usaha ratusan ribu ahli-ahli.

Begitu juga setiap ancaman terhadap Pas perlu berhadapan bukan sahaja dengan para pimpinan sahaja tetapi ratusan ribu ahli-ahli.

Harapan saya adalah agar ahli-ahli dapat memainkan peranan yang penting untuk mengangkat martabat Islam. Carilah keredhaan Allah dan bukan habuan dunia.

Kuasailah segala cabang ilmu dan kepakaran termasuk yang bukan tradisional kpd Pas.

Ahli-ahli Pas bukan hanya mesti menjadi pakar dalam hukum hakam Islam tetapi ramai juga yang mesti pakar di dalam bidang-bidang seperti ekonomi, perancangan serta ilmu-ilmu mengurus dan mentadbir dunia yang lain.

Semoga dengannya ahli-ahli akan dapat berperanan dengan lebih berkesan dan capaian Pas diperluaskan.

Sehubungan itu ruang perlu dibuka seluas-luasnya kepada semua untuk beperanan di dalam Pas.

Janganlah kita jemu untuk menyebarkan risalah Islam yang sebenar kepada masyarakat sama ada yang Islam atau bukan Islam. Kita mahu manfaat keadilan Islam itu dirasai oleh semua.

Saya yakin Pas akan terus kukuh dan subur sehingga dapat melangkah ke ulangtahunnya yang ke 100.

Bersama kita membawa perubahan kepada negara yang tercinta ini.

Iskandar A. Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
30 November 2014

TAG