Analisa Politik Pas

Cabaran PAS Untuk Memenangi Sokongan Pengundi Melayu PRU ke 14 atau PAS Kecundang

Oleh
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Pendahuluan

1. Analisis sokongan pengundi berdasarkan etnik tidak dapat dielakkan dalam konteks pilihanraya di Malaysia kerana pembentukan parti yang bertanding juga lebih berasaskan kepada etnik.

2. Data-data PRU ke 13 melibatkan tahap sokongan Melayu terhadap BN dan PR perlu dilihat dengan penuh prihatin khususnya oleh ahli-ahli PAS. Hal ini kerana dalam konteks agihan kerusi di kalangan PR, rata-rata PAS bertanding di kerusi Melayu berhadapan dengan UMNO khususnya di peringkat Parlimen. Justeru, undi teras bagi PAS ialah pengundi Melayu.

2. Apabila DAP dan PKR yang secara umumnya bertanding di kerusi pengundi cina atau pengundi campuran berjaya mendapatkan maksima kemenangan di kerusi tersebut sedang PAS gagal memenangi kerusi Melayu maka kuasa tawar menawar politik pasca PRU ke 14 tidak berada di tangan PAS.

3. Malah tidak pelik jika di saat itu rundingan pembentukan kerajaan hanyalah antara UMNO mewakili kerusi Melayu dan DAP serta PKR mewakili kuasa politik Cina dan campuran. Dalam politik semuanya serba mungkin.

Data PRU ke 13

1. Dalam PRU ke 13 daripada sebanyak 222 kerusi Parlimen secara umumnya terdapat 119 kerusi majoriti Melayu, 29 kerusi majoriti Cina, 36 kerusi campuran dan 38 kerusi Bumiputra Sabah dan Sarawak.

2. PR sangat kuat menyapu bersih 29 kerusi Cina dan 23 kerusi campuran namun lemah dengan hanya mendapat 36 kerusi Melayu dan 1 kerusi Bumiputra Sabah dan Sarawak menjadikan semuanya 89 kerusi.

3. BN pula gagal memenangi walau satu pun kerusi Cina, hanya mendapat 13 kerusi campuran tetapi gagah dengan mendapat 83 kerusi Melayu dan 37 kerusi Bumiputra Sabah dan Sarawak.

4. Ertinya cabaran besar PR yang perlu ditanggung oleh PAS khususnya ialah memenangi 83 kerusi Melayu. Manakala cabaran bagi DAP dan PKR ialah memenangi 37 kerusi Sabah dan Sarawak. Adapun di Semenanjung mereka hanya perlu bekerja keras merebut 13 lagi
kerusi campuran.

7. Dengan andaian PR mengekalkan semua 89 kerusi sekarang, PR hanya memerlukan antara 23 hingga 30 kerusi untuk memerintah Malaysia atau berada pada kedudukan selesa.

8. Dengan andaian kerusi itu boleh diperolehi daripada 13 kerusi campuran milik BN hari ini dan lagi 10 hingga 17 lagi dari Sabah dan Sarawak maka PR sebenarnya seolah tidak memerlukan sangat pertambahan kerusi Melayu menerusi PAS dan PKR.

Tahap Sokongan Melayu Terhadap PR pada PRU ke 13

1. Analisis menunjukkan bagi Semenanjung Malaysia, 63.7% undi Melayu berpihak kepada Barisan Nasional, 10.8% undi Cina dan 43.2% undi kaum India

2. Johor mencatat sokongan Melayu yang paling tinggi bagi BN dengan kadar 84.1% dan Kelantan paling rendah 46.7 %. Di Kelantan berlaku sedikit peningkatan undi bagi BN berbanding PRU 12 dan fenomena ini memberi isyarat BN mampu menambahkan kerusi DUN dan Parlimen di sana.

3. PR menerusi PAS terutamanya dan PKR hanya memenangi 36 kerusi Melayu dengan hanya 16 kerusi selamat dan 20 kerusi tipis.

6. BN menerusi UMNO berjaya menang di 83 kerusi Melayu dengan 50 kerusi selamat dan hanya 30 kerusi tipis.

7. Data ini menunjukkan tugas PAS sangat besar bagi memenangi pengundi Melayu. Untuk itu strategi yang betul bagi menghadapi pengundi Melayu ialah dengan tidak menimbulkan sebarang isu kontroversi melibatkan Melayu-Islam. Sebarang kontroversi yang dibangkitkan oleh DAP terutamanya hanya akan menjarakkan lagi pengundi Melayu daripada PAS. Apatah lagi media arus perdana sangat berperanan meracuni pengundi Melayu yang rata-ratanya berada di luar bandar.

8. Sementelah pula jika kontroversi isu agama dan Melayu itu dibangkitkan oleh sebahagian pimpinan PAS maka ia menjadi bola tanggung untuk UMNO terus mengukuhkan kedudukan mereka di kalangan Melayu. Kesannya sudah lasti dirasai oleh PAS.

Sokongan Padu Pengundi Cina Terhadap PR

1. Corak pengundian pengundi Cina membayangkan mereka begitu yakin Pakatan Rakyat mampu menumbangkan BN yang terasnya adalah Melayu UMNO dan membentuk kerajaan campuran kuasa pelbag
ai etnik dalam PRU ke 14.

2. Dalam PRU ke 13 BN menerusi Gerakan dan MCA gagal mendapat sebarang kerusi majoriti Cina sedang PR menerusi DAP dan PKR menyapu bersih 29 kerusi dengan 25 kerusi selamat dan hanya 4 kerusi dimenangi secara tipis.

3. Di 36 kerusi parlimen campuran pula PR memenangi 23 kerusi dengan 18 kerusi selamat dan 5 kerusi tipis manakala BN hanya mendapat 13 kerusi dengan 4 sahaja kerusi selamat dan 9 kerusi tipis. Keadaan ini menunjukkan PR hanya perlu bekerja keras untuk memenangi hanya 13 sahaja lagi kerusi campuran yang dimenangi BN.

4. Kesimpulannya, dengan mengekalkan kemenangan sapu bersih 29 kerusi Cina, 23 kerusi campuran dan merebut 13 lagi kerusi campuran, PR menerusi DAP dan PKR terutamanya bakal memiliki 65 kerusi Parlimen. Dengan corak pelbagai isu dimainkan oleh PR pada hari ini usaha untuk mendapatkan kemenangan maksima di kerusi Cina dan campuran adalah mudah bagi PR.

Strategi Kemenangan PR PRU ke 14

Merujuk kepada analisis di atas kesimpulan yang boleh dibuat ialah:

1. PAS perlu melipatkan gandakan usaha memenangi pengundi Melayu.

2. Sokongan Cina dan kerusi campuran pelbagai etnik kepada DAP dan PKR sudah hampir sampai ke siling.

3. Tumpuan utama PR ialah pada kerusi Sabah dan Sarawak.

4. Sebarang strategi yang mengabaikan sokongan pengundi teras PAS iaitu Melayu akan meletakkan PAS sebagai parti paling lemah dalam PR.

5. Kuasa tawar menawar politik apabila PAS lemah ialah antara DAP serta PKR mewakili pengundi pelbagai etnik dan UMNO mewakili pengundi Melayu manakala PAS hanyalah seumpama melukut di tepi gantang politik.

6. MCA dan Gerakan sudah hampir kehilangan gigi malah mungkin hampir lumpuh melainkan ia bersama dalam arus DAP dan PKR.

Sekian

Rabu 17 Disember 2014 / 24 Safar 1436H

TAG