Anggota Tentera Maut, 22 Lagi Cedera Kemalangan Di Lahad Datu

Tawau – Kemalangan jalan raya yang berlaku di KM4, Jalan Tengah Nipah-Lahad Datu pagi tadi membabitkan trak tentera mengakibatkan seorang anggota Batalion ke-17 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) maut manakala 22 lagi cedera.

Menurut Timbalan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Brigedier Jeneral Subari Tomo, mangsa Koperal Mohd Farouk Baha, 28, dari Yong Peng, Johor disahkan meninggal dunia pada 11.15 pagi di Hospital Lahad Datu.

“Dalam kejadian 10.30 pagi itu, kenderaan yang dinaiki kesemua anggota terbabit adalah dalam perjalanan dari Kem Cenderawasi, Bandar Sahabat, Lahad Datu menuju ke Sandakan bagi menjalakan tugas operasi di kawasan yang ditetapkan.

“Kenderaan yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke sebuah longkang besar yang dalam pembinaan sebelum terbalik kira-kira 4 kilometer dari pekan Lahad Datu,” katanya.

Dua anggota berpangkat prebet dilaporkan kritikal dan masing-masing menerima rawatan di Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.

Jenazah Mohd Farouk akan diterbangkan ke Tawau pagi esok sebelum ke Kuala Lumpur pada tengah hari untuk diterbangkan pula ke kampungnya.

TAG