DANA RM 1 Juta : Membantu Ibu Tunggal Dan Warga MIskin Jana Pendapatan Sebagai Pembantu RUMAH

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Shaffarudin Mustaffa
Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Shaffarudin Mustaffa
Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan memulakan program perintis latihan khidmat pembantu rumah melibatkan ibu tunggal dengan peruntukan awal RM1 juta bermula tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Muhammad Pahimi Yusof berkata sehingga kini terdapat 23,816 ibu tunggal di Terengganu yang boleh berkhidmat sebagai pembantu rumah.

"Ini bagi mengatasi masalah khidmat pembantu rumah dalam kalangan suami dan isteri yang bekerja. Ibu tunggal ini boleh bekerja sebagai pembantu rumah hanya pada siang hari," katanya menjawab soalan Mohd Mahdi Musa (BN-Kota Putera) di persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Beliau berkata untuk bantuan kepada ibu tunggal, kerajaan negeri melalui YPKT juga menaikkan had Pinjaman Jaya Diri dari RM10,000 kepada RM20,000 tanpa sebarang cagaran dan bayaran perkhidmatan untuk ibu dan bapa tunggal yang berminat menjalankan perniagaan.

Sementara itu beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan empat strategi untuk membantu rakyat Terengganu iaitu meningkatkan kualiti hidup keluarga, meningkatkan taraf ekonomi keluarga, meningkatkan kesedaran untuk menjauhi masalah sosial dan penambahbaikan hidup merangkumi pelbagai aspek.

Kepada soalan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) mengenai keberkesanan Program Bulan Madu Kali Kedua kelolaan YPKT, Muhammad Pehimi berkata program itu telah berjaya menyelamatkan hampir 98 peratus rumah tangga peserta yang terlibat.

"Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, hanya lapan daripada 772 pasangan suami isteri yang menyertai program itu meneruskan perceraian mereka.

"Program ini nyata berjaya memantapkan institusi kekeluargaan, seterusnya memulihkan hubungan suami isteri yang bermasalah," katanya.

Terengganu adalah satu-satu negeri yang mempunyai program seumpama itu yang bertujuan menyelamatkan krisis rumah tangga pasangan yang hampir bercerai.
-- BERNAMA
TAG