KUTIPAN PTPTN MENINGKAT 0.5 Juta

KUALA LUMPUR - Jumlah kutipan harian bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meningkat kepada RM4 juta sekarang berbanding RM3.5 juta sebelum ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, peningkatan itu membuktikan kesedaran peminjam PTPTN serta usaha berterusan yang dijalankan perbadanan itu bagi memastikan peminjam tegar membuat bayaran balik sebelum dikenakan tindakan.

“Saya dapati peningkatan ini juga disebabkan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2015 pada Oktober lalu,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Simpanan Bonanza! Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) siri kedua dan ketiga 2014, di sini, hari ini.

Najib mengumumkan pemberian diskaun 20 peratus kepada peminjam PTPTN jika membayar balik pinjaman sepenuhnya sehingga 31 Mac tahun depan manakala bagi mereka yang tidak dapat berbuat demikian masih boleh mendapatkan potongan 10 peratus daripada pinjaman sekiranya membuat bayaran berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2015. - Bernama




TAG