Mayat LELAKI Di Temui Dalam Belukar

Foto HIASAN
Polis menemui mayat lelaki tertanam dalam belukar berhampiran sebuah kilang pasir dipercayai jasad seorang lelaki yang diculik di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu sebelum dibunuh dan ditanam di kawasan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, penemuan mayat itu susulan penangkapan seorang lelaki berusia 41 tahun di Banting, Selangor kira-kira jam 8.05 malam pada 20 November lalu.

"Suspek membawa polis ke kawasan belukar berkenaan hari ini menemui satu jasad dipercayai mangsa culik yang dibunuh dan kerja-kerja mengeluarkan mayat itu sedang dilakukan Unit Forensik polis dengan kerjasama Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai diculik di Pusat Bandar Utara Sentul Kuala Lumpur kira-kira jam 6.10 petang pada 12 November lalu.

Dalam kejadian itu, empat penjenayah bersenjatakan dua pucuk pistol dan dua parang menyerbu masuk ke dalam warung kopi yang juga tempat kediaman mangsa, sebelum dibawa ke lokasi yang tidak diketahui.

"Kejadian itu turut disaksikan oleh isteri dan anak mangsa juga serta pelanggan yang sedang minum petang di warung berkenaan.

"Mangsa berketurunan India Myanmar dan berusia 30 tahun sudah berkahwin dengan perempuan warga tempatan dan mempunyai seorang anak lelaki," katanya.

Beliau berkata, isteri mangsa kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang tidak dikenali meminta isteri mangsa memasukkan RM2 juta ke dalam akaun bank.

Difahamkan, isteri mangsa tidak dapat melakukan seperti diminta penjenayah terbabit kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu.
TAG