SAMSENG BOLA SEPAK DIKENAL PASTI - PDRM

hooligans piala suzuki
Polis telah mengeluarkan gambar 12 suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan keganasan yang berlaku semasa perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki Cup antara Malaysia dan Vietnam pada hari Ahad.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata pasukannya telah mengenal pasti individu yang terlibat dan sedang diburu untuk dibawa ke muka pengadilan.

Sekurang-kurangnya seorang penyokong Vietnam dilaporkan mengalami kecederaan dalam pertembungan yang menyaksikan Malaysia tewas 2-1 di tempat sendiri. “Kami mengambil serius perkara ini kerana ia adalah satu jenayah yang tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

“Kami telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” kata Mohd Adnan kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau juga mengharapkan suspek supaya menyerah diri kepada polis secara sukarela bagi membantu siasatan. “Ketika perlawanan itu, kami telah menahan sembilan orang. Tiga kesalahan berkaitan dadah dan selebihnya kerana memiliki suar.

“ Jika sabit kesalahan, 12 suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. 

Mohd Adnan merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau suspek supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di 03-55202222 atau pegawai penyiasat Penolong Pesuruhjaya Chang Sing Kong di 016-7723336.
TAG